JDT tampil sebagai pasukan pertama menyatakan persetujuan untuk melepaskan pemain di bawah naungan mereka untuk menyertai skuad kebangsaan B-23 negara ke Sukan Asia.
Pekara tersebut disahkan sendiri oleh pengendali skuad B-23 negara, Ong Kim Swee melalui satu muatnaik di laman media sosial rasmi Facebook milik Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebentar tadi.
Sebelum ini jurulatih skuad B-23 negara itu berada di dalam dilema berikutan kemungkinan pasukan-pasukan Liga Malaysia melepaskan pemain masing-masing untuk menyertai Sukan Asia yang akan bermula pada bulan hadapan.
Ini berikutan pertandingan Piala Malaysia turut akan diadakan pada bulan hadapan, dan pasukan-pasukan di Liga Malaysia semestinya mahukan pemain terbaik yang mereka miliki hadir untuk menggalas cabaran masing-masing.
Senario terburuk, Ong Kim Swee menggambarkan pasukan negara akan menarik diri dari Sukan Asia, jika beliau gagal mendapatkan pemain-pemain pilihan beliau.
Ong Kim Swee yang dihubungi secara peribadi oleh Tunku Mahkota Johor, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim telah memberi jaminan untuk melepaskan sehingga lapan pemain dari pasukan tersebut untuk menyertai kejohanan yang bakal diadakan di Indonesia itu.
“Persetujuan daripada Tunku Ismail ini menunjukkan bahawa baginda memiliki semangat kesukanan yang cukup tinggi dan menyedari kepentingan negara adalah mengatasi kelab biarpun baginda sedar pemain-pemainnya itu bakal terlepas beberapa aksi awal peringkat kumpulan saingan Piala Malaysia 2018 bersama pasukan JDT.
“Diharap pasukan-pasukan lain juga akan menyusul untuk memberi kerjasama dalam melepaskan para pemain mereka yang dipanggil ke skuad Sukan Asia 2018 ini bagi memastikan saya dapat memiliki skuad yang lengkap dalam membawa cabaran Malaysia di Indonesia nanti.”
Pada pandangan kami, setiap pasukan di Liga Malaysia harus mempunyai tanggungjawab untuk membantu skuad kebangsaan tanpa mengira kategori umur setiap kali diperlukan.
Skuad negara mungkin sukar untuk melakarkan kejutan untuk meraih pingat. Namun peluang beraksi di pentas tertinggi dan bersaing dengan pemain-pemain handalan dunia lain termasuk dari Jepun dan Korea Selatan tidak seharusnya disekat untuk pemain-pemain muda ini menimba pengalaman.
Seperti Ong Kim Swee, sudah tentu kita juga mengharapkan pasukan Liga Malaysia yang lain akan mengikut jejak langkah JDT dengan melepaskan pemain masing-masing untuk Sukan Asia ini.