Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) meletakkan sasaran untk menamatkan saingan Liga Super 2023 berada di tiga teratas untuk membolehkan juara sembilan kali ini terus beraksi di peringkat Asia.
Melihat persiapan mereka termasuk perlawanan persahabatan yang dihadapi, Harimau Selatan sememangnya tidak ingin melepaskan peluang terbaik untuk bermain bersama kelab terbaik di rantau Asia apatah lagi JDT adalah antara yang terbaik di liga ketika ini.
Untuk aksi Liga Juara-Juara AFC (ACL) pula, TMJ lebih realistik kerana sedar pasukannya masih muda di kejohanan tersebut dan mengharapkan JDT mampu melepasi peringkat kumpulan terlebih dahulu.
Jika mampu ke peringkat suku akhir, itu adalah bonus buat pasukan.
Pada ACL musim lepas yang diadakan di Stadium Sultan Ibrahim bagi kumpulan I menyaksikan skuad bimbingan Benjamin Mora ketika itu berjaya mengetepi pasukan terkuat dari Jepun dan Korea Selatan untuk mara ke pusingan kedua sebelum terpaksa akur apabila tewas besar 0-5 kepada Urawa Reds.
Seterusnya, jika musim lepas Piala FA dan Piala Malaysia berjaya dijulang oleh pasukan dari Selatan ini, untuk tahun ini, mereka tidak meletakan harapan untuk mempertahan kejuaraan yang dimenanginya dan ini memberi mesej kepada pasukan lain yang gelaran liga lebih penting bagi mereka.
“Untuk Piala FA, kami berharap dapat masuk suku akhir dan untuk Piala Malaysia, kita mempunyai strategi yang lain iaitu akan memberi peluang kepada pemain muda mendapatkan minit permainan dan pengalaman.
“Dengan ini kita dapat memberi fokus kepada agenda lain yang sudah kita rancang. Jadi untuk Piala Malaysia saya berharap dapat ke suku akhir atau separuh akhir dengan barisan pemain muda,” ujar TMJ.
Melihat maksud tersirat dan tersurat dari pemilik JDT ini, pemain utama kelab tersebut seperti ingin memberi tumpuan lebih kepada persiapan Malaysia menghadapi saingan akhir Piala Asia di Qatar nanti pada awal Januari 2024 dan semua sedia maklum, kejohanan tertua di Malaysia ini biasanya akan diadakan pada hujung tahun.
Pemain JDT kebanyakan adalah pemain utama Harimau Malaya dan TMJ sudah beberapa kali memberi bayangan akan berada di dalam pasukan tersebut untuk bersama-sama menghadapi Piala Asia nanti.
Sementara itu, TMJ memberitahu kenapa pasukannya memilih Dubai sebagai destinasi pramusim adalah disebabkan ia lebih dekat dan ini dapat menjimatkan kewangan kelab.
Apa yang lebih, mereka dapat mengatur perlawanan bersama kelab terbaik seperti Zenit St. Petersburg.
Selain itu, penaja dan rakan kerjasama juga berada di Dubai dan ini memudahkan persiapan pasukan serta tidak perlu keluarkan duit dengan begitu banyak.
Tambahnya, beliau tidak ingin mengadakan pramusim di Eropah tetapi tidak mampu berlawan dengan pasukan dari liga utama.