Selepas menewaskan Melaka United, 2-1 semalam, Johor Darul Ta’zim (JDT) disahkan sebagai juara Liga Super 2019 dan ini merupakan gelaran keenam berturut-turut sejak tahun 2014.
Tidak seperti saingan sengit dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) yang menyaksikan gelaran juara hanya ditentukan dalam perlawanan terakhir, Harimau Selatan bergelar juara dengan baki empat perlawanan lagi.
Justeru itu, skuad Harimau Selatan tekad mengekalkan rekod tanpa kalah dan menyasarkan untuk mengutip 12 mata maksimum dalam baki perlawanan Liga Super.
“Saya gembira meraih trofi Liga Super kedua secara peribadi.
“Ditabalkan juara ketika perlawanan masih berbaki empat perlawanan merupakan satu pencapaian yang sukar dipercayai.
“Saya amat gembira atas segala sokongan yang diberikan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, barisan kejurulatihan dan peminat,” kata pemain tengah, Syamer Kutty Abba dalam Stadium Astro
Nazmi Faiz yang menjaringkan gol pertama ke atas Melaka United semalam tidak mahu leka dibuai dengan segala pujian kerana misi utama mereka masih belum dicapai.
“Liga masih ada baki empat perlawanan lagi. Kami mahukan terus (meraih) kemenangan lagi dan perjuangan kami masih belum berakhir.
“Kami mahu muncul sebagai juara yang tidak terkalah musim ini,” ujarnya.
Sementara itu, pengurus JDT, Luciano Figueroa memuji prestasi anak buahnya yang sentiasa konsisten sejak perlawanan pertama Liga Super.
“Saya sangat gembira. Saya amat bangga dengan para pemain, mereka telah melakukan tugas dengan hebat. Sejak permulaan liga lagi mereka telah melakukan tugas dengan cemerlang. Saya perlu mengucapkan tahniah kepada mereka. Kami sangat gembira.
“Kami masih mempunyai empat lagi perlawanan, dan kami akan cuba memenangi kesemua perlawanan. Kami akan melakukan yang terbaik sepertimana yang telah kami lakukan sehingga kini. Kami juga akan cuba menamatkan liga dengan rekod tanpa kalah,” katanya.
Dengan kejayaan tersebut, JDT juga telah mengesahkan tiket untuk beraksi dalam saingan AFC Champions League pada musim depan.