Quantcast

BERITA

Kuala Lumpur Enggan Angkat Bendera Putih, Yakin Kekal Dalam Liga Super

Saingan Liga Super kini hanya tinggal 4 lagi perlawanan untuk ditamatkan, namun skuad Kuala Lumpur masih bergelut untuk mengelakkan daripada zon penyingkiran ke Liga Premier musim depan.

Selepas tewas kepada Terengganu FC, 1-3 semalam, skuad warga kota itu kini mengutip 14 mata bersama PKNP FC dan hanya dibezakan dengan dua mata dengan pasukan tercorot, FELDA United.

Bagaimanapun pengendali pasukan itu, Chong Yee Fatt belum mahu mengangkat bendera putih meskipun sedar berdepan tugas sukar untuk memastikan mereka terus kekal dalam saingan Liga Super musim depan.

“Baki empat perlawanan lagi memang tidak banyak mata yang boleh kita kutip tetapi kita yakin masih ada peluang dan akan cuba yang terbaik untuk kekal bersaing dalam saingan Liga Super musim depan,” katanya dalam Arena Metro

Ketua jurulatih Kuala Lumpur, Chow Yee Fatt. FOTO: KL Hawks

Mengulas mengenai perlawanan malam tadi, Chow Yee Fatt tetap memuji prestasi anak buahnya yang telah melakukan yang terbaik dan tidak akan berputus asa untuk memburu tiga mata dalam perlawanan yang seterusnya.

“Inilah bola sepak, ada beberapa perlawanan pemain kami bermain dengan baik tetapi malangnya keputusan tidak menyebelahi kita termasuk perlawanan itu.

“Pujian harus diberikan kepada pemain kerana berjaya mempamerkan aksi terbaik biarpun tanpa kelibat penyerang import, Guilherme de Paula kerana masalah kecergasan.

“Kita tidak putus asa kerana peluang untuk menambah kutipan mata tetap ada, justeru pemain harus buktikan kemampuan mereka selepas ini,” katanya.