Nampaknya ‘cinta hati’ Azam Azih untuk meneruskan karier sebagai pemain bola sepak kekal bersama Sri Pahang FC selepas pemain itu menyifatkan perpindahan ke JDT hanya sebuah khabar angin.
Sebuah laporan daripada Utusan Malaysia pada har ini menyatakan komitmen penuh pemain perancang itu bersama skuad Tok Gajah pada musim ini.
“Isu perpindahan saya ke JDT adalah khabar angin semata-mata.
“Sehingga sekarang, tumpuan saya adalah kepada Sri Pahang,” kata pemain berusia 27 tahun itu ketika bercakap kepada wartawan Utusan Malaysia.
Azam Azih kini sedang sibuk menjalani kem latihan pusat bersama skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon untuk menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia 2023 yang akan bermula pada bulan hadapan.
Sebelum ini timbul spekulasi di media sosial Azam Azih bakal berhijrah ke JDT pada jendela perpindahan kedua yang akan dibuka pada 28 Mei hadapan.
Kehilangan Azam pasti sesuatu yang perit untuk Sri Pahang dan penyokong setia Tok Gajah memandangkan pemain itu adalah pemain terbaik pasukan setakat ini.
Azam Azih beraksi dalam semua lapan perlawanan Liga Super untuk Sri Pahang setakat ini dan telah menghasilkan tiga gol untuk pasukannya.
https://twitter.com/harimaumalaya7/status/1527256457749864449
Melalui temubual bersama Harimau Malaya sebelum ini, Ketua Jurulatih Sri Pahang, Christophe Gamel turut melahirkan keyakinannya pemain itu tidak akan menyertai JDT – walaupun pemain itu boleh berbuat demikian atas pilihannya sendiri.
Gamel menyifatkan Azam sebagai pemain yang memiliki ‘DNA Pahang’ yang kuat dan pendirian pemain itu tidak akan dikhaburi oleh faktor kewangan, atau semata-amata untuk mengejar populariti.