JDT Dalam Misi Memecah Siling Dengan Tergilapnya Arif Aiman

Ada sesuatu yang sangat cocok bagi JDT, apabila aksi signifikan terakhir perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia lepas, melibatkan pemain termudanya: Arif Aiman. Ketika itu, perlawanan memasuki masa tambahan. JDT beraksi dengan 10 pemain selama kira-kira 17 minit. Tetapi Arif tetap mempunyai tenaga, ketenangan dan keberanian untuk memaksa Dominic Tan menjadi audiens tariannya di kotak penalti Sabah.

Arif sukar ditangani di Stadium Likas. Menjadi gangguan, igauan, saluran serangan berterusan, dalam perlawanan yang menyaksikan Arif menyeksa bukan satu tetapi dua pertahanan Sabah: Gerald Gadit, dan Dominic Tan apabila Arif beralih ke posisi lebih tengah selepas Feroz Baharudin dilayangkan kad kuning kedua yang meragukan.

Ada satu perasaan lega di kem Sabah selepas 90 minit berakhir di Likas. Hanya satu gol dibolosi dalam perlawanan di mana JDT memerah setiap titis keringat badan dan mental lawannya. Penonton tidak dapat menahan rasa geli hati melihat gelagat Amri Yahyah merosakkan padang dan mengajuk pengadil – untuk menggagalkan penalti Bergson da Silva. Pada usia 41 tahun, semua orang menjangkakan Amri bersikap lebih tenang dan matang.

Cerita sebenarnya di sini adalah tentang JDT. Mereka tidak sewenang-wenangnya menghadiahkan gol, apatah lagi kemenangan, kepada lawan walaupun sudah merangkul tiga trofi domestik pada musim ini. Ada dua perkara signifikan telah berlaku di sini. JDT masih nampak berselera untuk menang. Seolah-olah mereka ada butang reset untuk melenyapkan memori kejayaan musim ini.

Tetapi cara mereka bermain untuk menang itulah yang paling ketara. Perlawanan mungkin dilangsungkan di halaman Sabah, tetapi JDT yang buas melakukan pressing untuk memburu penguasaan bola. Setiap kali mendapat bola, Sabah dipaksa membuat keputusan dalam masa kurang 6 saat. Memegang penguasaan bola nampak lebih susah dan menyesakkan nafas bagi Sabah. Berkampung dengan sebelas pemain di belakang bola menjadi ‘coping mechanism’ anak buah Datuk Ong Kim Swee.

Satu lagi perbezaannya adalah Arif Aiman. Pemain Paling Berharga 2021 ini sudah menjadi fulkrum serangan Harimau Selatan sejak musim lepas lagi. Musim lepas sumbangannya kerap dibayangi oleh naluri pemusnah Bergson. Musim ini, oleh kelincahan Fernando Forestieri. Tetapi tidak lagi dalam perlawanan ini. Arif membuktikan beliau boleh tampil ke hadapan, mengambil obor tanggungjawab, dan memenangi perlawanan dengan sendiri.

Kredit kepada Sabah. Mereka tahu dan telah bersedia dengan ancaman Arif. Datuk Ong Kim Swee mengarahkan Saddil Ramdani turun membantu Gerald Gadit setiap kali bola berada di kaki Arif di sayap kanan. “Jangan biarkan Arif 1v1 dengan Gerald,” barangkali arahan Kim Swee kepada Saddil. Bagi JDT, ini bermakna mereka perlu mempercepatkan tempo serangan. Porak-perandakan kubu Sabah dengan intensiti tinggi. Satu hantaran, satu transisi.

Shahrul Saad melancarkan serangan dengan satu hantaran kepada Forestieri. Dominic cuba memintas, tetapi digagalkan oleh momentum larian Forestieri dari belakang. Penyerang Argentina itu kini memegang bola di kawasan bahaya. Bagaimanapun masih banyak yang diperlukan oleh Harimau Selatan untuk menguji Damien Lim. Empat pertahanan Sabah berada dalam kotak penalti. Apabila Arif tiba menghulur bantuan, empat pertahanan Sabah berganda menjadi lapan. Arif tiada pilihan di hadapannya. Bola pula berada di kaki kirinya. Beliau tahu beliau perlu melakukan sesuatu yang istimewa. Satu acahan dibuat, Dominic diperdaya, satu ledakan kaki kiri dilepaskan. Gol kelapan musim ini untuk Arif; tiga daripadanya dijaringkan dengan kaki kiri.

Pada awal musim lepas, Arif memecah silingnya daripada pemain gantian kepada pemain kesebelasan utama. Ketika itu, satu Malaysia mengenalinya sebagai pemain sayap klasik yang lincah, laju dan mempunyai kemahiran teknikal tinggi. Jenis pemain sayap idaman penyerang. Tetapi pada musim ini, beliau memecah satu lagi siling dengan menambah gol pula dalam sumbangan ofensifnya.

Pada 5 Ogos lepas ketika menentang Penang dalam separuh akhir Piala FA, Arif mendapati beliau boleh menjadi lebih bahaya di hadapan gol jika mencuba dengan kaki kirinya. Dikepung empat pertahanan tanpa pilihan hantaran pada minit-63, Arif terpaksa memusingkan badannya mengikut pusingan jam untuk mendapat ruang; ruang yang memaksa Arif menggunakan kaki kirinya. Arif berimprovisasi, melepaskan rembatan kaki kiri, dan gol. Sebulan kemudian semasa final Piala FA, satu lagi gol kaki kiri dijaringkannya. Ketika pertahanan lawan baru sahaja belajar cara ‘mengunci’ Arif dengan memaksanya memakai kaki kiri, tanpa disangka mereka sebenarnya ‘membuka kunci’ senjata baharu Arif: penyudah kaki kiri.

Fenomena kenaikan mendadak profil Arif Aiman ini membawa persoalan: apa yang JDT lakukan kepada beliau selepas membuat keputusan meninggalkan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) untuk menyertai akademi JDT? Perlu diingat, ketika meninggalkan AMD, Aiman tidak pernah berada dalam barisan utama di bawah kendalian Lim Teong Kim dan tidak berada di dalam skuad B-16 kebangsaan ketika Kejohanan AFC B-16 2018. Apa yang JDT nampak pada Arif pada ketika itu? Bagaimana untuk menghasilkan lebih banyak pemain sepertinya?

Tiada siapa menafikan sumbangan jurulatih-jurulatih akar umbi di Pahang, jurulatih Mykids dan AMD dalam perkembangan bakat Arif. Malaysia tidak pernah kemarau bakat muda berpotensi tinggi. Arif sendiri bermula dari bawah di akademi JDT sejak menyertai JDT IV pada hujung 2018. Tetapi bakat-bakat muda Malaysia ada kecenderungan untuk hilang dari radar apabila ketika cuba naik ke skuad senior. Rahsianya mungkin boleh dikorek dengan meneliti apa yang JDT lakukan kepada Arif pada 2019 dan 2020.

Pada tahun 2019, ketika Arif berusia 17 tahun, beliau dinaikkan pangkat beraksi di JDT III. Pada tahun sama juga, Arif dipanggil berlatih bersama skuad JDT II dan JDT. Pada tahun 2020, Arif meneruskan kecemerlangannya apabila dipanggil menjalani latihan pra-musim bersama skuad senior JDT di Dubai. Pada November 2020, beliau sudah pun menjaringkan gol pertamanya dalam skuad senior. Setahun kemudian, graduan akademi JDT ini bergelar Pemain Paling Berharga di Malaysia.

Kemudahan akademi yang lengkap dan berkelas dunia, pendidikan holistik, akses dengan jurulatih Valencia CF, diet pemakanan yang dijaga oleh pakar nutrisi, modul latihan diadaptasi dari akademi Borussia Dortmund, pendedahan berterusan di kejohanan antarabangsa dan cara bermain yang konsisten dari akademi ke skuad senior – ini yang dinikmati oleh Arif di akademi JDT pada 2019 dan 2020. Berapa ramai bakat-bakat muda Malaysia mendapat akses sama? Tak banyak. Bagaimanapun agak naif untuk terus menyimpulkan faktor-faktor ini sahaja membolehkan bakat Arif tergilap sebaik sekarang. Kecederaan, mental dan personaliti pemain juga memainkan peranan. Tetapi tiada siapa boleh menafikan, kualiti akademi JDT memberi sumbangan sangat besar kepada graduannya.

Kenaikan profil Arif Aiman membuktikan apa yang akademi JDT lakukan sekarang telah membuahkan hasilnya. Pemain akademi JDT ketika ini akan melihat pemain-pemain seperti Arif, Daryl Sham dan Adam Farhan sebagai contoh, suri teladan bahawa dengan usaha, kerja keras dan doa – mereka juga boleh berjaya. JDT memerlukan testimoni sebegini untuk menarik lebih banyak bakat-bakat muda seluruh Malaysia – malah seluruh ASEAN – untuk memecah siling seterusnya.

90 minit aksi separuh masa kedua di Stadium Sultan Ibrahim masih berbaki sebelum JDT mengesahkan kemaraan ke final TM Piala Malaysia 2022. Semuanya terpulang kepada JDT sendiri untuk memecah satu lagi siling bola sepak Malaysia: juara Piala Malaysia, juara Liga Super, juara Piala FA dan juara Piala Sumbangsih. Di kala umur Arif Aiman baru menginjak 20 tahun, di kala visi Tunku Ismail Sultan Ibrahim sentiasa berevolusi, di kala JDT sendiri masih berselera besar untuk menang, sukar untuk tidak merasakan sesuatu yang lebih besar bakal dikecapi oleh Harimau Selatan. Tunggu masa sahaja.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN