Laman facebook rasmi pasukan juara Liga Super 2017, Johor Darul Ta’zim (JDT), mengumumkan kemasukan pemain berdarah kacukan Barbados dan Malaysia, La’ Vere Corbin-Ong untuk menyertai skuad Harimau Selatan musim depan.
Corbin-Ong yang kini beraksi dengan kelab Liga Divisyen Dua Belanda, Go Ahead Eagles setakat ini telah membuat lapan penampilan bersama pasukannya.
Pemain berusia 26 tahun itu memulakan karier bola sepak bersama kelab Argyle Pipers di Kanada pada 2005 selama empat tahun sebelum menyertai Capilano Blues ketika menuntut di Universiti Capilano di Vancoucer, Kanada.
Dia kemudian menyertai kelab profesional, Vancouver Whitecaps pada 2011 namun setahun kemudian dia memberanikan diri untuk berpindah ke Jerman untuk mencuba nasib dengan kelab FC Pommern Greifswald yang beraksi di liga bawahan Jerman pada 2012 hingga 2014.
Corbin juga pernah menyertai Berliner AK 07 yang beraksi dalam liga divisyen empat pada penghujung 2014 dan kelibatnya berjaya memikat FC Union Berlin yang beraksi dalam divisyen 2 Bundesliga tetapi memilih kelab dari Liga divisyen 3, FSV Frankfurt pada musim 2016 selama setahun.
Karier Corbin-Ong terus berkembang apabila beraksi untuk Go Ahead Eagles di Belanda malah turut dipanggil menyertai skuad kebangsaan Kanada pada aksi persahabatan menentang Scotland, Mac lalu.
Difahamkan beliau juga masih layak untuk dipanggil mewakili skuad Harimau Malaya. Kami paparkan aksi Corbin-Ong ketika mewakili skuad kebangsaan Kanada.
Dengan kehadiran Corbin-Ong yang beraksi di posisi pertahanan kiri dan pertahanan tengah pasti memberi kelegaan buat kem JDT yang sering bergantung kepada Fazly Mazlan.
Kini JDT sedang mengintai kuota pemain Asia dan akan membuat pengumuman tidak lama lagi sebelum pasukan itu memulakan latihan pertengahan bulan depan sebelum latihan pramusim di Bangkok.
Siapakah pemain yang mengisi kuota pemain import asia dalam pasukan itu? Sama-sama kita saksikan.