JDT Bawa Liga ‘Gred D’ Ke Tingkat Yang Tak Pernah Terjangka

Pada tahun 2011, tular satu posting dari sebuah fanpage bola sepak tempatan yang mengesahkan persepsi peminat sejak sekian lama – kualiti Liga Super sangat teruk di peringkat Asia. Daripada 23 liga bola sepak yang disanksi oleh AFC, Liga Super berada pada kedudukan ke-19.

Liga Jepun, J.League berada di kedudukan pertama. Liga Korea Selatan, K-League di kedudukan kedua. Chinese Super League melengkapkan kedudukan tiga teratas. Di peringkat Asia Tenggara, Liga Super Indonesia paling di atas diikuti (mengikut urutan) oleh liga Singapura, S.League dan liga Thailand, Thai League.

Kedudukan buruk Malaysia dalam ranking AFC Members National League (kini dikenali sebagai ranking AFC Clubs Competition) ini membuatkan naratif ‘Liga Malaysia liga gred D’ menjadi popular pada ketika itu. Rata-rata peminat bola sepak tempatan bersetuju: Liga Super tiada daya tarikan kepada pemain import berkualiti. Dan mereka betul.

Pada ketika itu, majoriti pemain-pemain kebangsaan yang berpotensi disarankan peminat supaya berhijrah ke liga luar negara. Pilihan paling popular pada ketika itu – Thai League. Terutamanya selepas berlakunya kemelut dualisme liga bola sepak Indonesia (antara Liga Primer Indonesia dan Indonesia Super League). Ditambah pula dengan hakikat ranking FIFA Thailand (132) yang lebih tinggi daripada Malaysia (155).

Mara laju ke tahun 2022, Malaysia kini berada di ranking ke-8 seluruh Asia. Di peringkat zon Timur, Malaysia di ranking ke-4 selepas Jepun, Korea Selatan dan Hong Kong. Alhamdulillah. Ini bermakna bermula pada tahun 2024 nanti, dua kelab Liga Super akan dijamin tempatnya dalam AFC Champions League. Tiada playoff. Terus ke peringkat kumpulan. Penyumbangnya? JDT dan KL City. Penyumbang utamanya? Tak lain tak bukan JDT.

Persembahan cemerlang JDT di Champions League tahun ini membolehkan mereka menyumbang 68.7% (16) mata yang Malaysia kutip sepanjang 2022 (22.3). Bersama-sama KL City, JDT menunjukkan kepada peminat bola sepak Indonesia, Thailand dan Vietnam bahawa liga Malaysia liga kompetitif.

“Kompetitif apanya kalau gelaran liga dimiliki JDT sembilan kali berturut-turut?” si pengkritik mungkin membalas. Ini adalah soalan yang sangat sesuai dijawab dengan soalan. Kerana ia soalan retorikal. Mereka tahu jawapannya. Soalannya: bagaimana JDT boleh bersaing dengan kompetitif di peringkat Champions League (sehingga melangkah ke pusingan 16 terakhir) jika liga domestiknya tidak kompetitif?

Tidak terlintas dalam fikiran pengkritik bahawa punca utama JDT mendominasi gelaran domestik adalah kerana apabila mutu pasukan Liga Super lain bertambah baik dua kali ganda, mutu JDT bertambah baik tiga kali ganda. Dalam fikiran pengkritik, JDT perlu menurunkan mutu pasukan mereka supaya liga lebih kompetitif. Lebih menarik. Maaf, ini sukan profesional. Bukan sukaneka tadika di mana semua peserta akan mendapat trofi penyertaan.

Jika anda mahu menewaskan JDT, anda boleh bertaruh anda perlu memberikan usaha lima kali ganda. Jika Natxo Insa mencatatkan jarak larian 12km dalam satu perlawanan, pemain tengah anda perlu mencatatkan jarak larian 13km dalam satu perlawanan. Jika Bergson da Silva mengambil masa 2 saat untuk melakukan pressing, pertahanan anda perlu membuat keputusan kurang daripada 2 saat. Jika Arif Aiman memenangi 5 duels dalam satu perlawanan, bek kiri anda perlu menang 6 duels dalam satu perlawanan. Ini cara atlet professional menang.

Penekanan khusus JDT untuk berjaya di peringkat Asia juga nampaknya telah berjaya merubah ‘sikap’ tipikal kelab-kelab Malaysia apabila bersaing di peringkat benua. Bukan satu fenomena asing pada era 2000-an dahulu melihat kelab-kelab Liga Super merehatkan pemain kesebelasan utama semasa saingan AFC Cup demi mengejar kemenangan di saingan domestik. Syukur pemikiran lapuk ini sudah pupus.

Dalam sedar tak sedar, liga bola sepak Malaysia sebenarnya menikmati kesan tidak langsung kemajuan JDT. Anda boleh hidup dalam penafian. Para peminat bola sepak di Indonesia, Thailand, Singapura dan Vietnam sudah mengakuinya. Mereka mahu melihat bintang-bintang skuad kebangsaan mereka bermain di liga Malaysia sebagai plan B jika plan A (bermain di J.League atau K-League) tidak menjadi.

Yang tak bersetuju, tak mampu membalas apabila ditunjukkan ranking AFC Malaysia berbanding negara mereka. Tiada siapa boleh menafikan peluang terbesar pemain-pemain terbaik ASEAN untuk bermain di Champions League adalah dengan bermain di Malaysia.

Siapa sangka kita kini menjadi plan B selepas bermula sebagai liga gred D?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN