Beberapa hari lalu kecoh di media sosial apabila Naib Presiden KFA, Anas Hafiz Mustafa memberitahu media bahawa JDT berminat mendapatkan Akhyar Rashid.
Akhyar Rashid dikatakan telah mendesak KFA untuk melepaskan beliau ke JDT dan mahu FAM menjadi orang tengah untuk kes tersebut. Pada musim lalu, Akhyar Rashid telah melanjutkan kontrak beliau selama 2 tahun di Kedah.
Jadi, kontrak semasa pemain penyerang sayap itu masih ada setahun lagi. Pihak KFA sebelum ini mengeluarkan kenyataan agar Akhyar Rashid bersikap profesional di dalam hal kontrak – sekiranya ada tawaran daripada pasukan lain yang menarik.
Anas Hafiz menegaskan JDT cuba mendapatkan Akhyar tanpa sebarang hitam putih. Beliau berkata: “Akhyar Rashid telah pun dilamar oleh JDT. Tetapi proses masih belum habis lagi sebab kita masih ada perbincangan-perbincangan lebih khusus dengan pihak pemain. Sebelum apa-apa keputusan dimuktamadkan.”
“Akhyar [Rashid] punya rundingan sebenarnya telah dibawa ke FAM. Bukan daripada Pihak KFA [sebaliknya] beliau sendiri yang [mem]bawa hal ini ke FAM.”
“Sebenarnya kita tidak menerima [sebarang] black and white [hitam putih], cuma pemain ada mohon minta dilepaskan. Sebenarnya dia [Akhyar] ada kontrak lagi dengan KFA – lagi setahun.”
“Namun secara rasminya daripada pihak yang nakkan Akhyar masih belum ada lagi [menghantar sebarang hitam putih].”
Pada 24 November 2018, Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards menjawab kenyataan pihak KFA tersebut dan menyifatkan ia tuduhan yang tidak boleh diterima oleh mereka.
Alistair Edwards berkata: “Kami kecewa kerana dituduh cuba mendapatkan Akhyar Rashid tanpa berbincang dengan pengurusan Kedah.”
Seterusnya, Alistair tidak menolak bahawa mereka antara kelab yang mahukan Akhyar Rashid jika pemain itu berpindah.
Namun JDT sudah sedia maklum bahawa pemain itu masih ada baki kontrak di Kedah. Alistair juga memberitahu bahawa JDT masih belum mengemukakan apa-apa tawaran kepada Akhyar Rashid.
“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mungkin berminat untuk menandatangani Akhyar jikalau beliau bersedia untuk berpindah tetapi kami sedia maklum bahawa beliau masih mempunyai kontrak dan disebabkan perkara tersebut, kami tidak membuat tawaran kepada Akhyar,” tambah beliau lagi.
Alistair tidak mahu ada pihak mengaitkan JDT dalam hal yang berkaitan dengan sebarang usaha Akhyar Rashid yang dilihat cuba meminta agar kontrak beliau ditamatkan.
Alistair menyatakan: “Kami tidak boleh menerima tuduhan sedemikian hanya kerana pemain tersebut [Akhyar Rashid] mahu menamatkan kontrak beliau.”
“Sekiranya Akhyar ejen bebas tanpa kontrak, beliau bebas untuk berunding dengan mana-mana kelab yang mempunyai hasrat untuk mendapatkannya, termasuk JDT.”