Jawatan Pengarah Teknikal Hanya R&R Sebelum ‘Sailang’ Ketua Jurulatih?

Frank Bernhardt Pengarah Teknikal Ketua jurulatih 2023 Kelantan

Kelantan telah mengumumkan pelantikan Pengarah Teknikal, Frank Bernhardt sebagai ketua jurulatih baharu menggantikan Choi Moon-sik.

Ia membenarkan khabar angin yang telah bertiup kencang sejak beliau tiba ke bumi Kelantan sebagai Pengarah Teknikal buat ‘The Red Warriors’.

Beberapa hari lalu, menerusi makluman di laman sosial pasukan, Choi dikatakan ‘direhatkan’ akibat prestasi kurang baik selepas melalui tujuh aksi Liga Super 2023. Sebaliknya di kem jurulatih itu, dikatakan berlaku pelbagai isu dalam pasukan yang membawa kepada khidmatnya ‘direhatkan’.

Di Liga Malaysia, satu perkataan yang mungkin susah untuk dipercayai adalah ketua jurulatih direhatkan, sedangkan majoritinya telah dipecat.

Choi akhirnya sah dilepaskan Kelantan

Itulah yang telah dilalui bekas bintang Piala Dunia Korea Selatan itu yang dikatakan direhatkan tetapi pihak pengurusan sedang mencari pengganti.

Dan memang semua sudah menjangkakan Bernhardt akan diumumkan sebagai pengganti dalam masa terdekat selepas kira-kira dua minggu lalu dilantik sebagai Pengarah Teknikal. Hanya menanti masa yang sesuai.

Pengalamannya dalam bola sepak Malaysia memang tidak boleh disangkal apabila sebelum ini pernah membimbing skuad B-23 Malaysia dan UiTM.

Disebabkan itu kehadirannya ke bumi Darul Naim diragui pada awalnya. Benarkah sekadar Pengarah Teknikal atau sedang menanti untuk ambil alih daripada ketua jurulatih sedia ada? Ini jadi perdebatan para penyokong.

Sehingga satu penerangan datang dari ‘orang kelab’ cuba menyatakan yang Bernhardt memang dibawa sebagai Pengarah Teknikal – tidak lebih. Ini yang diceritakan oleh pemerhati bola sepak Malaysia, Zuraimi Zukri.

Sebenarnya, tidak perlu diulaskan langsung pelantikan Bernhardt sebelum itu, jika benar itulah posisinya. Tetapi, penyokong bola sepak di Malaysia kini sebenarnya sudah dilengkapi ilmu membaca teknik pertukaran jurulatih.

Pengarah Teknikal adalah jawatan persinggahan sahaja

Kenapa penyokong bola sepak Malaysia sudah boleh baca perancangan ini?

Ia tidaklah terlalu rumit untuk faham bola sepak Malaysia. Beberapa kes kita boleh rujuk tentang isu Pengarah Teknikal yang berakhir sebagai jurulatih pasukan tersebut. Kehadiran mereka seperti memercikkan masalah.

Menghairankan, datang atas kapasiti dan posisi yang besar, kemudian rela dilantik sebagai pengendali pasukan. Ia seperti anda diturunkan pangkat.

Hierarki yang betul adalah Pengarah Teknikal lebih tinggi daripada jurulatih.

Oleh itu, dapat kita fahami, jika ada pengumuman pelantikan Pengarah Teknikal dalam sesebuah pasukan yang tampak meragukan, sah pasukan tersebut sedang dalam proses untuk pertukaran jurulatih tidak lama lagi.

Kecuali di Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila Hector Bidoglio daripada ketua jurulatih dinaikkan pangkat menjadi Pengarah Teknikal untuk musim 2023.

Jadi, pasukan mana lagi pernah melalui situasi yang sama seperti ini? Ini antara Pengarah Teknikal sanggup turun pangkat jadi ketua jurulatih.

Terengganu (Tomislav Steinbruckner)

Ini yang berlaku menghampiri penghujung musim lalu yang akhirnya menyebabkan Nafuzi Zain pilih angkat kaki menyertai Kedah Darul Aman.

Setahun sebelum, Terengganu membawa masuk Tomislav Steinbruckner sebagai Pengarah Teknikal. Ketika itu pun sudah dilihat suasana tidak cantik dengan kehadiran Steinbruckner. Seolah-olah sedang berlaku konflik dalaman yang cuba menekan Nafuzi meninggalkan posisinya.

Selepas pengendali yang sinonim dengan ‘Nafuziball’ itu meninggalkan pasukan, Steinbruckner sah diumumkan sebagai pengendali baharu.

Selangor (Michael Feichtenbeiner)

DNA Jerman dilaungkan di eranya menjadi Pengarah Teknikal ‘The Red Gaints’. Namun, segalanya menjadi debu selepas beliau sendiri gagal apabila dilantik mengemudi pasukan menggantikan Karsten Neitzel.

Itu adalah kali kedua beliau menjadi ketua jurulatih selepas menggantikan B Satiananthan secara sementara. Ironinya, beliau tiba ke Selangor pada Disember 2019 diikuti Satia dipecat pada September 2020. Begitupun, ia hanyalah penggantian sementara sebelum Neitzel dibawa olehnya.

Neirzel juga gagal membangunkan pasukan sebelum diturunkan pangkat menjadi penolong jurulatih kepada, siapa lagi kalau bukan, Feichtenbeiner.

Sarawak United (B Satiananthan)

Selepas meninggalkan Selangor, Satiananthan telah menyertai Sarawak United sebagai Pengarah Teknikal untuk permulaan musim 2021. Ketika itu, Enggang Emas itu sedang dibimbing oleh E Elavarasan sejak Mac 2020.

Tetapi situasi mereka sedikit berlainan apabila Elavarasan bukanlah dipecat, selain Satia juga tidaklah dibawa masuk sebagai calon penggantinya.

Pengendali berusia 61 tahun itu meninggalkan pasukan untuk menyertai kem skuad kebangsaan bersama Kim Pan-gon pada Mac 2022 membuka ruang buat Satia membawa pasukan tersebut secara sementara sebelum S Balachandran mengambil alih pasukan beberapa bulan kemudian.

Barangkali, istilah ‘direhatkan’ yang benar-benar terjadi adalah kepada pengendali Kelantan kini, Bernhardt ketika beliau mengemudi UiTM pada musim 2021 apabila telah direhatkan dalam tiga perlawanan liga.

Ada lagi pengendali lain yang pembaca masih ingat bermula sebagai Pengarah Teknikal kemudian secara teknikalnya diturunkan pangkat sebagai ketua jurulatih? Sila kongsikan bersama kami di ruangan komen.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN