Endrick dos Santos menjadi pemain naturalisasi terbaharu Harimau Malaya yang meraih debutnya dalam kemenangan tipis 1-0 ke atas Turkmenistan.
Gol di minit ke-28 oleh Akhyar Rashid sudah cukup buat skuad kebangsaan untuk robohkan keampuhan ‘Karakum Warriors’ di Stadium Sultan Ibrahim.
Disebalik kemenangan tersebut, terdapat beberapa isu dipersoalkan para penyokong antaranya ketiadaan Arif Aiman selain kurang menjadinya beberapa pemain seperti Endrick, Nooa Laine dan Fayadh Zulkifli.
Ini antara pemain yang dikatakan ‘hilang’ walaupun diturunkan beraksi.
Bagaimana struktur permainan Malaysia?
Malaysia turun dengan formasi 4-3-3 menampilkan dua tonggak tengah yang melakukan debut bersama pasukan iaitu Endrick dan Paulo Josue.
Kedua-dua pemain ini diketahui sebagai ‘playmaker’ dari segi permainan bersama kelab. Brendan Gan juga memiliki kemampuan yang sama.
Namun, berdepan Turkmenistan, pengendali skuad negara, Kim Pan-gon memberikan peranan lebih bertahan kepada Brendan sementara dilihat Endrick dan Paulo berada di posisi yang lebih ke depan. Begitupun, jika diteliti, Endrick dan Brendan seolah-olah kembar yang bermain di bawah.
Hanya Paulo dilihat banyak terlibat dengan aktiviti di jentera serangan.
Ia berbeza dengan struktur yang dipamerkan di atas kertas dan skrin tv.
Endrick dan peranannya berdepan Turmenistan
Endrick tampil menjelaskan peranannya pada malam tersebut kepada portal The Vibes. Baginya, beliau tidak kisah dengan peranan berbeza.
Jika di Johor Darul Ta’zim (JDT), beliau lebih kepada seorang pemain yang akan bersama menyerang ke kubu lawan, bersama skuad kebangsaan dalam penampilan pertamanya, Kim memberikan arahan berbeza.
“Saya tidak kecewa tidak dapat menjaringkan gol dalam debut saya. Saya tiada masalah bermain lebih ke bawah [berdepan Turkmenistan]. Saya sudah banyak kali bermain di posisi tersebut,” Endrick menjelaskan peranannya.
Arif Aiman Mungkin Rehat, Tapi Ada Pemain Lain ‘Hilang’ Dalam Padanghttps://t.co/fKxWpXsnGE
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) March 24, 2023
Ini memberi jawapan kepada kita mengapa Endrick seperti hilang dalam padang dan jarang sekali terlibat dalam fasa serangan skuad negara.
Ia memang dirancang sebegitu oleh Kim dengan hanya Paulo lebih aktif membantu jentera serangan waima diketahui kelebihan utama Endrick.
Bersama JDT selepas tampil dalam empat perlawanan dan merekodkan 257 minit permainan, beliau sudah melakar tiga gol selain berhasil mencipta lima percubaan tepat – rekod daripada Malaysian Football League.
Skuad kebangsaan memerlukan keseimbangan ketika dalam fasa bertahan.
Noaa Laine sediakan tapak lebih stabil di bawah
Ini kerana, Malaysia kekurangan pilihan untuk pemain tengah bertahan dengan hanya Syamer Kutty Abba yang berada di bangku simpanan.
Berdasarkan analisis yang dilakukan oleh portal Bola Muntah, serangan dijana selepas pasukan melepasi situasi ‘High Press’ dan ‘Counterpress’. Ia hanya berlaku apabila berlakunya transisi kepada fasa perlawanan.
Endrick Dos Santos, who made his debut with the national team in Malaysia’s 1-0 victory over Turkmenistan in a Tier 1 international friendly match last Thursday, said he felt comfortable. https://t.co/o54h2QUpbQ
— TheVibes.com (@thevibesnews) March 25, 2023
Selepas melihat kurangnya keberkesanan Endrick, Kim memasukkan Nooa Laine untuk memberi dimensi berbeza terutamanya dalam fasa bertahan.
Ketenangan permainan Laine telah menyediakan tapak lebih stabil ketika Malaysia berdepan tekanan Turkmenistan bagi menukar transisi pasukan.
Adakah ini membawa maksud Endrick langsung tidak menjadi? Perspektif oleh penganalisis Astro Arena, Chun Hang ini tampak sedikit berlainan.
Endrick sebenarnya bermain dengan baik
Kualiti yang dibawa Laine dimiliki oleh beberapa pemain lain di Liga Super, menurutnya sambil menyebut Akram Mahinan, Kenny Pallraj dan Hong Wan. Begitupun, menurutnya, masih terlalu awal untuk menghakiminya.
Tambahnya, Malaysia membariskan dua pemain kreatif di jentera tengah – Endrick dan Paulo. Dan dari segi penguasaan permainan, kedua-duanya memberikan satu nilai tambah yang baik tidak seperti sebelum ini.
“Mereka berdua lebih tenang dan tidak terburu-buru melakukan hantaran seperti mana skuad yang sebelum ini kerap lakukan. Dari aspek kreativiti, kedua-duanya menampilkannya dengan baik. Selepas Endrick keluar diikuti dua lagi [Brendan dan Paulo], jentera tengah dilihat panik,” ciapnya.
Jadi, sebenarnya, pada asasnya, tiada masalah dalam permainan Endrick dan beliau memberikan nilai tambah yang baik buat Harimau Malaya.
Ini satu lagi dimensi baharu yang dibawa Kim kepada permainan skuad kebangsaan. Mungkin adakalanya ia tidak menampilkan kelebihan pemain itu seperti mana di pentas liga, tetapi ini tidak bermakna mereka gagal.
Semakin menarik untuk melihat aksi Malaysia dan Hong Kong pada Selasa.