Masuk hari ke-4 berlangsungnya Selangor Champions League 2017 semalam menyaksikan perlawanan diantara pasukan Rebel FC menentang pasukan SA United yang berkesudahan 3-2 dengan kemenangan berpihak kepada Rebel FC di Stadium Panasonic Shah Alam.
Permulaan perlawanan kedua-dua pasukan dilihat sedikit gugup dan masih lagi cuba untuk mencari rentak masing-masing.
Beberapa ‘misplaced pass’ dilakukan kedua-dua pasukan dengan masing-masing masih lagi cuba menyesuaikan diri.
Namun setelah 10 minit perlawanan berjalan, mereka sudah mula mendapat rentak dan melancarkan serangan bertali arus.
Hasilnya pada minit ke-14, Muzaffar Hazizan berjaya membuka jaringan setelah menanduk masuk hantaran ‘lob’ rakan sepasukannya untuk meletakkan Rebel dihadapan.
Namun kegembiraan itu tidak kekal lama apabila SA United pantas bangkit untuk menyamakan kedudukan melalui penyerang import mereka, Azeez Akeem (jersi putih, gambar bawah) yang tidak dikawal lantas mudah menanduk masuk pada minit ke-15 perlawanan.
Selang 4 minit selepas itu, Rebel berjaya mendapat gol kedua mereka sekali lagi melalui Muzaffar Hazizan setelah gagal mematahkan larian Muhammad Zamiruddin yang selepas itu menghantar kepada Muzaffar.
Kedudukan kekal 2-1 hingga tamat separuh masa pertama.
Bermula separuh masa kedua, Rebel meneruskan corak permainan menyerang mereka dengan banyak melakukan serangan bertali-arus ke gawang gol SA United.
Larian-larian pantas dan licik pemain sayap mereka, Muhammad Zamiruddin serta Mbeguere Medina seringkali mengucar-ngacirkan pertahanan SA United.
Namun akibat terlalu ghairah menyerang, gawang gol Rebel bocor apabila barisan pertahanan mereka sedikit alpa dan dihukum sekali lagi oleh Azeez Akeem pada minit ke-45 menjadikan kedudukan 2-2.
Tersentak dengan jaringan itu, Rebel sekali lagi melancarkan serangan bertubi-tubi untuk mendapatkan gol kemenangan.
Hasilnya, pada minit ke-68 perlawanan, penyerang import mereka, Mbeguere Medina berjaya menjaringkan gol kemenangan Rebel setelah mudah menolak masuk hantaran Wan Muhammad Haiqal yang sebelum itu bijak memperdayakan 2 pemain pertahanan SA United.
Namun kemenangan Rebel sedikit tercalar apabila pada minit-minit terakhir perlawanan, penjaga gol mereka, Fahmi isa dilayangkan kad merah setelah mengasari pemain SA United diluar kotak.
Kedudukan 3-2 kekal sehingga tamat perlawanan dengan kemenangan berpihak kepada Rebel FC.
Statistik perlawanan