Jaringan kemenangan penyerang import, Chukwu Chijioke ketika ketika perlawanan hanya berbaki 2 minit sebelum tamat melengkapkan ‘comeback’ sempurna buat Shah Alam Antlers dalam perlawanan ‘derby Shah Alam’ yang menghiburkan di Stadium Panasonic Shah Alam malam semalam.
Menentang Shah Alam United yang baru sahaja mempamerkan persembahan defensif baik untuk mengikat Gombak Klasiko 1-1 pada minggu lepas, Shah Alam United menghadapi perlawanan ini dengan prestasi semasa yang kurang memuaskan – sekadar seri sekali (vs Subang Protap) dan kalah sekali (vs Axis-O2 PJ).
Perlawanan derby Shah Alam yang turut diserikan dengan kehadiran Raja Muda Selangor, DYTM Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj ini bermula dengan mimpi ngeri buat Shah Alam Antlers seawal minit ke-7.
Di sebalik permainan menyerang Shah Alam Antlers yang jauh lebih kemas dan penguasaan bola yang dominan berbanding minggu sebelumnya, lawan mereka terlebih dahulu menjaringkan gol pendahuluan.
Tanpa diduga oleh sesiapa, penyerang Shah Alam United, Azeez Akeem membuat percubaan dari jarak 40 ela yang terus menewaskan penjaga gol Shah Alam Antlers, Syamil Baharuddin.
Melainkan ada pemain pasukan lain yang menjaringkan gol dari jarak lebih jauh selepas ini, gol tersebut hampir pasti akan menjadi gol terbaik Selangor Champions League 2017.
Tersentak dengan jaringan awal Shah Alam United, Shah Alam Antlers bangkit mencari gol penyamaan. Namun barisan pertahanan Shah Alam United sukar digugat.
Ini tidak dibantu pula dengan kecenderungan Antlers untuk terlalu berharap kepada penyerang mereka, Chukwu Chijioke yang sentiasa dikawal ketat Shaiful Azman dan Ibrahim Daniel.
Masuk babak kedua, Shah Alam Antlers mengeluarkan pemain tengah Mohamad Naim dan memasukkan penyerang Kumaran Vijayan. Dengan hanya 2 pemain tengah iaitu Ku Muhammad Nazran dan Ahmad Marzuqi, Shah Alam Antlers jelas mengambil risiko demi mengejar gol.
Diinspirasikan oleh persembahan cemerlang duo Nazran dan Marzuqi di tengah, Shah Alam Antlers jauh lebih berbahaya berbanding separuh masa pertama.
Ditambah pula dengan kelincahan Yakish Rao (gambar bawah) di sebelah kiri, pertahanan Shah Alam United dipaksa bekerja keras untuk mempertahankan kelebihan 1 gol mereka.
Ketika tahap kecergasan pemain-pemain Shah Alam United mula menurun, ketika inilah Shah Alam Antlers mula menggigit. Hasil hantaran satu-dua pantas antara Chukwu Chijioke dan Yakish Rao, Shah Alam Antlers akhirnya membuka jaringan pada minit ke-64 menerusi Yakish Rao.
Ketika Shah Alam United tampak berpuas hati dengan 1 mata, Shah Alam Antlers meranapkan impian jiran mereka apabila Chukwu Chijioke menikam masuk bola ke gawang gol daripada sepakan sudut Jason Lim.
Shah Alam United cuba bangkit namun masa tidak menyebelahi mereka. Perlawanan tamat dengan keputusan 2-1 untuk kemenangan pertama Shah Alam Antlers pada musim ini.