Jaringan Global Yang Mampu Mengubah Bola Sepak Malaysia

Dengan jaringan hubungan merentasi landskap bola sepak global, DYAM Tunku Mahkota Ismail tak dapat disangkal lagi merupakan individu paling luas jaringannya di Malaysia. Daripada presiden kelab berprofil tinggi seperti Nasser Al-Khelaifi (Paris Saint-Germain) hinggalah ke pemain legenda seperti Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi, jaringan Pemangku Sultan Johor itu tidak terjangkau oleh sesiapa pun di Malaysia.

Bukan setakat jaringan hubungan dengan individu, DYAM Tunku Mahkota Ismail turut mempunyai hubungan rapat dengan banyak institusi bola sepak dunia yang penting. Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), kelab-kelab Bundesliga sehinggalah La Liga (gambar bawah) – semuanya kenal siapa baginda.

Jaringan hubungan yang luas ini menyimpan satu potensi besar – bukan sahaja untuk kelab milik baginda JDT – malah untuk Malaysia juga. Ia berpotensi merevolusi bola sepak Malaysia, menawarkan peluang tanpa had untuk kolaborasi, mendapatkan modal insan berkualiti, dan kerjasama strategik. Bayangkan jika baginda memimpin halatuju bola sepak Malaysia, DYAM Tunku Mahkota Ismail boleh membuka jalan baharu ke arah transformasi bola sepak negara di peringkat antarabangsa, di dalam mahupun di luar padang.

Kita lihat potensinya di dalam padang dahulu.

Merekrut pemain import berkualiti untuk bermain di Liga Super adalah mustahil sebelum penglibatan DYAM Tunku Mahkota Ismail dalam arena bola sepak tempatan pada 2013.

Sebelum 2013, pemain luar berkualiti agak ‘takut’ bermain di negara yang mempunyai ranking FIFA rendah, kerana ia memberi risiko kepada reputasi mereka. Mereka juga keberatan berlatih di negara yang mempunyai fasiliti sukan yang terhad, ditambah pula dengan risiko kecederaan dan tidak menerima rawatan terbaik. Kerisauan mereka ada asasnya. Salah pilih, karier bola sepak mereka akan menjadi lebih pendek daripada sediakala. Keyakinan mereka untuk bermain di Malaysia telah menaikkan kualiti liga dan memberikan pendedahan berguna kepada pemain muda negara mengenai standard yang mereka perlu capai untuk duduk sebaris dengan pemain-pemain import berkualiti ini.

Di peringkat pembangunan pemain belia, hubungan DYAM Tunku Mahkota Ismail dengan akademi-akademi prolifik Eropah dan Amerika Selatan memberi prospek mengujakan. Kita boleh lihat kekerapan anak-anak Malaysia di Akademi JDT dijemput bertanding di luar negara. Melalui Akademi JDT, kita telah pun mempunyai barisan pemain tempatan bawah-21, bawah-19, bawah-17, bawah-15, bawah-14, bawah-13 dan bawah-12 yang didedahkan dengan metodologi latihan dan persekitaran kompetitif setaraf Eropah dan Amerika Selatan.

Trajektori positif infrastruktur dan fasiliti bola sepak Malaysia juga tidak akan menjadi realiti tanpa jaringan bola sepak DYAM Tunku Mahkota Ismail yang luas. Melalui cara inilah, baginda memastikan mutu dan standard bola sepak Malaysia sentiasa meningkat. Dahulu kita tak kisah pun bermain di padang bendang. Sekarang kita kisah kerana DYAM Tunku Mahkota Ismail telah menunjukkan penanda arasnya di Stadium Sultan Ibrahim. Dahulu kita tak kisah pemain mandi pakai paip getah di tepi padang. Sekarang kita kisah kerana baginda telah menunjukkan cara sebetulnya menerusi kemudahan recovery di JDT. Dahulu pemain tak kisah pun makan apa di tengah-tengah musim. Sekarang mereka tahu ilmu nutrisi kerana baginda menunjukkan standardnya di JDT. Hubungan DYAM Tunku Mahkota Ismail telah membuka pintu Malaysia kepada perkongsian ilmu dan kepakaran teknikal daripada pakar seluruh dunia.

Sekarang kita lihat potensi di luar padang pula.

Melalui jaringan hubungan DYAM Tunku Mahkota Ismail yang luas di peringkat global, bayangkan apa potensinya kepada pemasaran, penajaan dan peluang komersial liga dan skuad kebangsaan kita.

Ia jaringan yang membolehkan bola sepak Malaysia untuk memperoleh pendedahan antarabangsa, peluang kerjasama dengan jenama global dan penyertaan kejohanan ternama di peringkat global. Ia jaringan yang boleh membuka jalan bagi kelab-kelab Liga Super untuk memperolehi sumber pendapatan mampan, memperluas profil merentasi sempadan negeri dan negara, sekaligus memacu pertumbuhan industri bola sepak negara.

Sejak sedekad lalu, JDT telah pun mengecap pelbagai kejayaan yang tak pernah dicapai kelab-kelab lain di Malaysia hasil hubungan dan jaringan kenalan DYAM Tunku Mahkota Ismail. Sekarang, bayangkan pula kemungkinan kepada skuad kebangsaan secara khususnya dan bola sepak Malaysia secara keseluruhannya jika pengaruh baginda diperluaskan di luar peringkat kelab.

Dengan jaringan, kredibiliti serta pencapaiannya yang belum mampu ditandingi oleh mana-mana individu di negara kita, DYAM Tunku Mahkota Ismail individu paling penting untuk mengangkat bola sepak Malaysia ke darjat lebih tinggi. Visi kepimpinan serta kerjasama strategik baginda sejak 2013 membolehkan sebarang inisiatif transformasi yang kita idamkan mempunyai kebarangkalian tinggi untuk menjadi realiti. Lagipun, baginda memang sudah terbukti seorang doer. Cakap-cakap pun, kerja tetap jalan.

Selagi berterusan DYAM Tunku Mahkota Ismail bekerja meluaskan jaringan globalnya dalam dunia bola sepak, selagi itulah masa depan bola sepak negara kita akan memegang potensi besar yang boleh direalisasikan.

Kredit gambar: JOHOR Southern Tigers

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN