Dua jaringan pantas pada babak kedua menerusi dua pemain dari Argentina, Gonzalo Higuain dan Paulo Dybala membawa Juventus melayakkan diri ke pusingan suku akhir Liga Juara-Juara Eropah selepas menundukkan Tottenham Hotspur 2-1 di Stadium Wembley.
Wakil dari Itali itu menang dengan agregit 4-3 apabila kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada perlawanan pertama yang berlangsung di Turin.
Tuan rumah ternyata begitu bernafsu untuk mencatatkan kemenangan apabila melancarkan beberapa asakan berbahaya ke kubu Juventus yang dikawal Gianluigi Buffon sejak dari awal permainan.
Pemain Korea Selatan, Son Heung-Min menguji kewibawaan Buffon seawal minit ke-4 perlawanan, namun penjaga gol berpengalaman itu menafikan percubaan rembatan kaki kiri dari Son tersebut.
Usaha bertali arus tuan rumah akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-39 setelah Son menolak masuk hantaran yang dilakukan Kieran Trippier untuk jaringan pembukaan.
Jaringan tersebut memisahkan kedua-dua pasukan hingga tamat separuh masa pertama.
Penjaring dua gol Juventus pada aksi pertama, Gonzalo Higuain menggembirakan kem kelab gergasi dari Turin itu apabila beliau yang tidak dikawal pertahanan Spurs, berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-64.
Jaringan tersebut berpunca daripada hantaran lintang dari sebelah kiri pintu gol Spurs oleh Stephan Lichtsteiner yang ditanduk Sami Khedira, lalu terus disambar Higuain bagi merobek gawang Tottenham Hotspur.
Berselang tiga minit kemudian, Higuain melorongkan bola dengan cantik kepada Paulo Dybala bagi melepasi perangkap ofaid pertahanan tuan rumah.
Dybala yang meluru pantas meninggalkan pertahanan Spurs, melakukan percubaan kaki kiri untuk jaringan kedua sekaligus menjadikan kelebihan agegit 4-3 buat pasukan pelawat.
Keputusan perlawanan kekal hingga tamat perlawanan bagi membawa skuad bimbingan Massimiliano Allegri ke pusingan suku akhir dan perjuangan Tottenham Hotspur terhenti di saingan 16 pasukan terbaik.