Pemain tengah berpengaruh Kedah Darul Aman (Kedah) iaitu Amirul Hisyam secara tiba-tiba menjadi tumpuan peminat bola sepak kelab tersebut selepas aksi membabitkan kelab itu menentang Perak.
Terdahulu, Kedah berjaya mengikat Perak menerusi keputusan seri 1-1 di Stadium Manjung selepas aksi sengit ditampilkan kedua pasukan itu sepanjang saingan berlangsung,
Keputusan itu sedikit sebanyak sebenarnya memberi sinar harapan buat Kedah yang telah pun sebelum ini merekodkan dua kekalahan berturut-turut di pentas Liga Super 2024/2025.
Hadir dengan serba tidak lengkap dalam kalangan pemain, keputusan itu dianggap sebagai sebuah kejutan sebenarnya apabila mereka mampu mengikat Perak menerusi keputusan seri di gelanggang lawan.
Pada aksi tersebut, tuan rumah terlebih dahulu memperoleh jaringan pada minit ke-71 menerusi ledakan penyerang import mereka dari Brazil iaitu Clayton yang menyempurnakan sepakan penalti.
Tatkala tuan rumah dijangka bakal mendapat tiga mata penuh, hadir Amirul Hisyam yang melepaskan satu sepakan bak peluru dari luar kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol Harimau Malaya, Haziq Nadzli pada masa tambahan.
Jaringan itu dianggap cukup dramatik sehingga Amirul dijulang selaku wira pasukan kerana memastikan Sang Kenari tidak pulang dari gelanggang lawan secara sia-sia menerusi gol tersebut.
Di media sosial, rata-rata penyokong berpuas hati dengan apa telah ditampilkan oleh Kedah terutama sekali kepada Amirul Hisyam yang terus menyelamatkan maruah pasukan.
Apa tidaknya, Kedah sebelum ini masih segar dengan kekalahan besar 1-4 di tangan Kuala Lumpur City (KL City) beberapa hari lalu dalam saingan kedua 16 terbaik Piala Malaysia.
Walau ia sekadar seri, keputusan itu sedikit sebanyak mampu menaikkan motivasi pasukan yang ketika ini masih menghadapi krisis kewangan teruk sehingga mengakibatkan ada pemain boikot serta menamatkan kontrak lebih awal.
Malah, jika dilihat pada aksi ini sebenarnya Victor Andrag terpaksa menyenaraikan beberapa pemain muda selain mengakui krisis dihadapi mereka daripada segi isu tunggakan gaji.
Menerusi laporan kami terima, ada menyatakan pemain Kedah sudah pun tertunggak daripada segi isu gaji sejak sembilan bulan lalu dan pemain masih belum menerima baki sepenuhnya.
Apa kami harapkan supaya kemelut ini mampu diselesaikan secepat mungkin atau Kedah mungkin akan sepi pada saingan akan tiba kerana dihantui masalah kewangan.