“Jangan Datang Tempat Orang Buat Kacau” – Zamsaham Tegur Penyokong Luar Supaya Tampil Beradab

ada tag: onefootballxapple

Semalam suatu insiden kekecohan telah berlaku selepas perlawanan Liga Premier melibatkan Kelantan menentang Perak di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, dengan berkesudahan tuan rumah tewas 1-2 di tangan pelawat.

Pada aksi tersebut, Kelantan buat pertama kalinya tewas di gelanggang sendiri pada musim ini sejak mereka beraksi di Kota Bharu setelah tampil dengan sangat cemerlang sebelum itu.

Perak pula berjaya meraih kemenangan kelima musim ini bawah kendalian Yusri Che Lah yang dilihat semakin bertambah baik dengan pertukaran beberapa pemain baharu menyertai mereka.

Sejurus perlawanan semalam, ada beberapa insiden pergaduhan telah berlaku dalam kalangan penyokong sehingga kemuncaknya apabila cermin bas Perak telah dipecahkan dengan objek keras.

Menurut info yang tersebar di media sosial, perkara ini mula berlaku sejak di stadium selepas perlawanan apabila ada insiden pergaduhan antara penyokong tuan rumah dan pelawat sehingga berlarutan dengan agak lama.

Perkara ini mendapat maklum balas daripada kedua pemilik kelab yang masing-masing menjelaskan rasa tidak puas hati dengan situasi tersebut yang telah berlaku.

Menurut Norizam Bin Tukiman selaku pemilik Kelantan, beliau sebelum itu telah memuat naik di Facebook peribadi, dengan bertanyakan sama ada penyokong Perak telah membuat kekacauan.

“Benarkah segelintir fans Perak pijak bendera Kelantan dan kencing di padang selepas menang 2-1 tadi?,” tanya beliau di laman Facebook.

Seterusnya, Norizam yang juga mesra dipanggil sebagai Zamsaham telah menasihati kepada penyokong-penyokong luar agar menjaga adab ketika datang ke tempat orang.

Beliau juga mengatakan perkara seperti provokasi, kencing, serta memijak bendera ini sesuatu yang tidak baik dan perlu dielakkan oleh mana-mana penyokong.

“Mudahan fans luar perlu lebih beradap dan profesional. Jangan datang tempat orang buat kacau. Kalah ke menang ke adat perlawanan.

“Saya boleh terima, tapi kalau dah sampai provok, kencing pijak bendera ini sesuatu yang tidak baik.

“Dimasa depan perlu saling hormat menghormati. Semoga semua fans Kelantan semuanya sihat, selamat pergi balik setiap kali match,” jelas beliau di ruangan komen Facebook peribadi.

Leave a Reply