Bagi memastikan semua pemain skuad Harimau Malaya berada pada keadaan terbaik dari segi mental dan fizikal, ketua jurulatih Tan Cheng Hoe mengingatkan anak buahnya supaya mengurangkan masa di media sosial.
Pesanan penting tersebut didedahkan oleh pemain tengah Nor Azam Azih ketika sidang media harian secara dalam talian.
“Setiap hari coach selalu pesan jangan banyak main media sosial untuk jaga mental dan fizikal. Jangan layan komen-komen negatif yang ditulis di laman media sosial,” kata pemain Sri Pahang tersebut.
Dalam sidang media yang sama, Cheng Hoe memberi jaminan akan menurunkan semua 25 pemain dalam dua aksi persahabatan menentang Kuwait yang akan berlangsung pada Ahad dan Bahrain pada Jumaat.
Beliau yakin dua perlawanan tersebut akan memberi perkembangan positif kepada pasukan terutama dalam mencari keserasian selepas 18 bulan aksi di pentas antarabangsa terhenti akibat pandemik yang melanda.
“Semua pemain kini berada dalam prestasi yang memuaskan, mereka akan dapat peluang diturunkan beraksi pada perlawanan persahabatan kali ini,” kata jurulatih berusia 52 tahun itu.
“Kami akan melihat sejauhmana tahap pemikiran pemain diatas padang, kombinasi dan beraksi sebagai satu pasukan.”
“Bukan sekelip mata dapat keserasian. Apa yang diharapkan dua perlawanan ini akan memberi perkembangan positif dalam skuad kebangsaan untuk menghadapi baki saingan peringkat kumpulan.”
Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan skuad kebangsaan:
‘Rantai’ Ali Mabkhout Dulu, Baru Fikir Pemain Naturalisasi UAE
Dilantik Buat Kali Ke-2, Van Marwijk Dakwa Tahu Untuk ‘Counter’ Malaysia
Tanpa Brendan Gan, Adakah Liridon Taruhan Terbaik Sebagai ‘Pencatur’