Bola sepak adalah satu wadah perpaduan paling utuh dalam mana-mana negara. Sukan ini juga mampu meningkatkan semangat kecintaan kita pada negara. Namun persoalannya, adilkah sistem sukan negara kita kepada semua?
Seringkali kita mendengar laungan “sports for all” atau “sukan untuk semua” oleh mana-mana pemimpin atau para politikus yang merupakan pembuat polisi di negara kita.
Namun realitinya di negara kita pada hari ini, apakah sukan itu benar-benar untuk semua?
Jika dilihat perkembangan sukan negara, terutamanya ibu kepada segala jenis sukan di negara ini, iaitu sukan bola sepak, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) khususnya lebih suka memberi tumpuan kepada pasukan lelaki, tidak kepada pasukan bola sepak wanita negara.
Pihak pengurusan FAM mungkin ingin fokus untuk menaikkan pasukan bola sepak lelaki setanding zaman kegemilangan arwah Mokhtar Dahari yang melayakkan Malaysia ke Sukan Olimpik.
Namun begitu, saya tidak bersetuju dengan segala bentuk layanan yang tidak sama rata terhadap atlet wanita.
Sebagai contoh pasukan futsal wanita negara yang berjaya merangkul pingat gangsa di Sukan SEA Myanmar pada tahun 2013 manakala pada tahun 2015 mereka berjaya menempatkan diri dalam kelompok 5 terbaik Asia di bawah kendalian jurulatih Chiew Chun Yong.
Jurulatih tersebut kemudiannya ditukarkan untuk mengemudi pasukan futsal lelaki yang akhirnya membawa pasukan futsal lelaki Malaysia mendapat pingat perak pada Sukan SEA 2017.
Melihatkan kecenderungan FAM yang menukarkan jurulatih apabila melihat keberkesanan mereka mengendali pasukan wanita, untuk kemudiannya mengemudi pasukan lelaki, akhirnya menyebabkan prestasi pasukan futsal wanita negara jatuh merudum.
Ia terbukti pada Sukan SEA 2017 apabila mereka gagal mendapatkan pingat untuk negara.
Sehingga hari ini kesannya masih jelas kelihatan pada pasukan futsal wanita negara yang seringkali disisihkan.
Apakah hanya kerana mereka wanita mereka dilayan seperti ini? Mengapa setiap kejayaan mereka seolah-olah didiamkan oleh media massa?
ICYMI
Kuala Lumpur bergelar juara Malaysia Premier Futsal League (Wanita) semalam selepas menundukkan pencabar terdekat, Selangor dengan 7-0 dalam perlawanan terakhir Sirkit 4.#MPFL#SemuanyaBOLA pic.twitter.com/5Wzj2SM2uo
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) September 9, 2019
Begitu juga dengan sukan olahraga, tinju, muay thai, bola keranjang dan pelbagai jenis sukan lagi.
Terbaru kita dikejutkan dengan berita tentang Nor Diana penggusti berhijab pertama yang menjuarai kejohanan profesional dan mengharumkan nama negara walaupun sukan itu didominasi oleh kaum lelaki.
Namun apakah perancangan jangka panjang untuk sukan ini terus berkembang, terutamanya dalam kalangan wanita?
Dalam sukan olahraga, atlet wanita juga sering disisihkan. Sebagai contoh atlet pecut wanita negara Zaidatul Husniah, namanya tinggal sepi begitu sahaja walaupun berjaya menempatkan diri untuk bertanding dalam pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik Rio de Janeiro pada tahun 2016.
Begitu juga dengan S Komalam, Siti Fatimah yang masih lagi dalam lapangan ini namun seperti dianaktirikan oleh Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) yang seringkali memfokuskan pada pembangunan atlet lelaki semata-mata.
(Running) Zaidatul Husniah smashes 100m national record in S. Africahttps://t.co/NjYm9jcHP2 pic.twitter.com/FIUNoghTLL
— New Straits Times (@NST_Online) March 4, 2017
Kita sering mendengar nama atlet pecut lelaki seperti Khairul Hafiz Jantan meniti di bibir peminat sukan olahraga negara dek tumpuan media terhadap atlet ini. Kita terlepas pandang pencapaian atlet pecut wanita negara dan akhirnya nasib mereka juga tiada siapa yang tahu.
Satu masa dahulu, Menteri Belia dan Sukan pernah menyampaikan asirasi beliau yang inginkan wanita tampil ke hadapan dalam bidang sukan.
Realitinya bukan wanita tidak ingin tampil ke hadapan, tetapi diskriminasi gender dalam sukan terlampau menebal.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) seharusnya turut memfokuskan agenda pemerkasaan atlet wanita, selain mendesak persatuan sukan memberi layanan sama adil antara atlet lelaki dan wanita.
Jangan hanya kerana pencapaian mereka tidak segah mana, maka mereka langsung tidak dipedulikan. Jika kita ingin memupuk budaya bersukan ini, kesedaran dari peringkat akar umbi juga perlu bagi menghapuskan diskriminasi gender dalam sukan.
Sukan bukan sahaja baik untuk kesihatan fizikal, malah boleh dijadikan karier serta punca pendapatan negara. China misalnya memperoleh hasil hampir RM300 bilion setiap tahun daripada industri sukan sahaja.
China plans sports business boost with industry investment fund https://t.co/KCaxkr06G7 pic.twitter.com/ZPymg8kZxD
— Vic Alvarado (@Vic) December 2, 2019
Dasar dan polisi sukan di Asia Tenggara masih terperangkap dalam permainan gender, justeru diharapkan Malaysia mengambil langkah memecahkan tembok itu dan memberi penekanan sama-rata kepada atlet negara kita.
Leny Azmi adalah pembaca SemuanyaBOLA dan alumni Sekolah Merdeka.
Kredit Foto: FAM