Penjaga gol utama Atletico Madrid, Jan Oblak menilai pemain muda sedang meningkat naik, Joao Felix mampu untuk menjadi sebagai antara pemain terbaik bola sepak dunia.
Felix yang berusia 19 tahun menyertai Atletico Madrid daripada Benfica dengan nilai perpindahan berjumlah €126 juta.
Beliau dengan pantas membuktikan mengapa kelab Sepanyol itu sanggup mengeluarkan dana yang cukup besar bagi mendapatkan khidmatnya dengan memperagakan aksi bertenaga pada pra-musim tempoh hari.
”Saya tahu dia (Joao Felix) mempunyai bakat dan potensi yang hebat,” ujar Oblak yang jelas optimis dengan perkembangan karier Felix.
”Kelab telah melakukan banyak usaha untuk membawanya kesini dan kami bersetuju bahawa mereka telah membawakan pemain dengan kualiti tinggi.”
”Sudah pasti, dia mampu untuk menjadi salah seorang yang terbaik. Pada ketika ini dia bermain dengan cukup baik dan diharapkan dia akan mengekalkan prestasinya. Memberikan kami kegembiraan.”
Kehadiran Felix dilihat mampu untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Antoine Griezmann yang memilih untuk menyarung jersi Barcelona pada jendela perpindahan musim panas ini.
Joao Felix juga turut menjadi pilihan pengurus, Diego Simeone yang meletakkannya sebagai pemain kesebelasan utama untuk digandingkan bersama Alvaro Morata pada dua perlawanan La Liga bertemu Getafe dan Leganes.
Kredit foto: Atletico Madrid