Semua sudah maklum bahawa Arsenal diundi bertemu CSKA Moscow untuk perlawanan suku akhir Liga Europa musim ini.
Tetapi undian itu telah mencetuskan kontroversi yang tular di laman-laman berita bola sepak dunia. Seolah-olah UEFA telah mencurahkan minyak ke dalam api yang sedang marak.
Nasihat perjalanan
Kerajaan Britain telah memuatnaik nasihat perjalanan untuk rakyatnya sekiranya ke Rusia. Ini termasuk para penyokong Arsenal yang dari negara tersebut.
Tetapi nasihat perjalanan itu telah dimuatnaik terlebih dahulu beberapa hari sebelum undian Liga Europa pada Jumaat.
Kejadian di Salisbury telah menjadikan hubungan Britain dengan Rusia menjadi tegang dan panas. Ya, dua beranak dari Rusia dipercayai telah diracun oleh ejen diupah kerajaan Rusia.
“Disebabkan ketegangan politik di antara UK dan Rusia, pelawat ke negara berkenaaan harus menjangkakan sentimen anti-British atau sebarang gangguan berkaitan. Jika anda berada di Rusia atau sedang merancang perjalanan ke negara berkenaan, anda dinasihatkan untuk berhati-hati, mengelak daripada terlibat dengan mana-mana gerakan memprotes dan demonstrasi; ataupun berbicara secara terbuka mengenai perkembangan politik semasa di negara berkenaan,” ujar satu kenyataan daripada pihak kerajaan Britain.
Kerajaan Britain telah bertindak untuk menghalau pegawai diplomat Rusia dari negara tersebut. Rusia tidak mendiamkan diri lalu membuat tindakan yang serupa.
Rusia memberi tempoh seminggu kepada diplomat Britain untuk meninggalkan negara tersebut.
Difahamkan Keluarga Diraja British serta barisan pemimpin negara tersebut tidak akan menghadiri Piala Dunia pada musim panas nanti.
Jaminan keselamatan
Pegawai bola sepak Rusia, Alexei Sorokin telah memberitahu bahawa tiada apa yang perlu ditakutkan jika ke Moscow. Makluman itu ditujukan khas kepada penyokong The Gunners.
Perlawanan pertama suku akhir akan diadakan di London pada 5 April. Manakala perlawanan kedua akan dilangsungkan pada seminggu kemudian.
Memang agak dikesalkan UEFA apabila lambat bertindak. Belum terlewat lagi sekiranya pihak UEFA untuk melakukan undian semula jika ada keperluan mendesak.
Bak kata peribahasa ‘better late than never.’ Walaupun dengan jaminan keselamatan, ia pasti masih satu jaminan yang mempunyai risiko tersendiri.