Pemain Real Madrid yang dipinjamkan selama dua musim ke Bayern Munich, James Rodriguez mengakui bahawa beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan bekas pengurusnya, Zinedine Zidane.
Sehubungan dengan itu, pemain antarabangsa Colombia tersebut turut menegaskan yang tidak akan meraikan jaringan sekiranya beliau berjaya menjaringkan gol buat Bayern Munich pada pertemuan bertemu Real Madrid nanti.
James Rodriguez akan kembali beraksi di Santiago Bernabeu pada awal pagi esok dalam usaha membantu Bayern Munich untuk menumbangkan Real Madrid sekaligus layak ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah musim ini.
”Saya telah dilayan dengan begitu baik di sini (Madrid). Ia merupakan tiga tahun yang unik apabila saya memenangi banyak trofi bersama Real Madrid,” jelas James dalam sidang media.
”Terdapat sesuatu yang boleh dilakukan dengan menunjukkan rasa hormat kepada kelab dan penyokong di sini.”
”Saya tidak mempunyai perasaan yang buruk terhadap Zidane. Saya hanya mahu beraksi minggu ini. Tiada masalah dengan Zidane dan Real Madrid.”
”Ia sentiasa baik untuk kembali ke tempat yang dipanggil ‘rumah’. Satu perasaan gembira yang bercampur baur.”
”Saya sangat gembira (di Bayern Munich) dan hanya memikirkan mengenai perlawanan ini dan untuk beraksi dalam Piala Dunia. Selepas itu kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku,” kata James Rodriguez lagi.
Pada aksi separuh akhir pertama di Allianz Arena, Bayern dirundung malang selepas tewas 2-1 walaupun terlebih dahulu mendahului Los Blancos menerusi jaringan Joshua Kimmich.
Jaringan daripada Marcelo dan Marco Asensio kemudiannya memadamkan kelebihan tersebut untuk Real Madrid pulang dengan kemenangan 2-1 serta mempunyai kelebihan dua gol di tempat lawan.