Ahli politik yang pernah menggegar tanah air dengan ‘lawak-lawak’ hebatnya, Datuk Seri Jamal Yunos mencadangkan agar Tunku Mahkota Johor (TMJ) mengambil alih pengurusan Stadium Shah Alam.
Jamal yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar berkata, rekod TMJ yang terbukti membangunkan Johor Darul Ta’zim (JDT) mampu untuk memberikan sinar kepada stadium yang sudah usang itu.
Menurut beliau, kejayaan TMJ dalam menjadikan Stadium Sultan Ibrahim sebagai stadium yang diiktiraf terbaik pada tahun 2020 menjadi bukti paling besar.
Selain itu, sumbangan TMJ kepada Stadium Nasional Bukit Jalil juga tidak perlu dinafikan.
“TMJ juga berjaya membantu dan menyumbang kepada Perbadanan Stadium Malaysia bagi memulihkan dan menyelenggara Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum ini.
“Saya amat yakin TMJ mampu menyelamatkan Stadium Shah Alam yang menjadi ikon sukan Asia Tenggara agar terus beroperasi, berbanding tindakan gelojoh kerajaan negeri Selangor untuk merobohkannya,” kata Jamal menerusi Malaysian Gazette.
Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut mempersoal kredibiliti kerajaan Selangor dibawah penguasaan Pakatan Harapan yang dilihat sebagai gagal menjaga stadium itu selama 14 tahun berkuasa.
Beliau membandingkan Stadium Shah Alam dengan Stadium Merdeka dengan stadium bersejarah itu masih lagi ada dan dijaga dengan baik berbanding gelanggang rasmi Selangor itu.
Najib Razak Kecam Kerajaan Selangor 14 Tahun Gagal Urus Stadium Shah Alam
Dalam masa yang sama, Jamal dan Najib kedua-duanya senada dengan mereka menolak idea merobohkan stadium Shah Alam dan digantikan dengan stadium baharu berkapasiti lebih kecil.
Pada hemat Jamal, keputusan itu adalah langkah ke belakang sambil ianya bertentangan dengan visi Majlis Sukan Negeri Selangor yang sudah bersedia untuk memacu program belia dan sukan di negeri itu.
Sebaliknya, Jamal mencadangkan supaya kerajaan Selangor mempertahankannya daripada dirobohkan.
Stadium Shah Alam telah menjadi gelanggang rasmi Selangor sejak 1994.