Teka teki mengenai status pemain tengah dari Argentina iaitu Jalil Elias telah pun dinoktahkan, selepas pemain tersebut sah bakal mewakili Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk saingan musim hadapan.
Terdahulu, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor (TMJ) selaku pemilik JDT memberi bayangan kepada Hafizal Hamad dalam program Nindia mengenai kelab tersebut bakal mendapatkan tiga pemain import baharu musim hadapan.
JDT Tandatangani Khidmat Bekas Perancang Tengah San Lorenzo?
“Setakat ini persiapan pasukan sudah pun memasuki hampir 90% hampir siap dan habis sahaja musim ini saya akan pastikan ianya sudah pun lengkap untuk tahun hadapan.
“Untuk slot pemain tempatan, kemungkinan akan ada 1 atau 2, dan tak silap saya kami ada 3 lagi pemain asing bakal menyertai pasukan ini,” ulas TMJ dalam program Nindia yang bersiaran secara langsung di Astro Arena.
Laporan terbaharu, wartawan sukan Astro Arena iaitu Zulhelmi Zainal Azam mengesahkan Jalil Elias bakal mengukuhkan posisi tengah JDT pada musim hadapan.
Kenyataan itu dikeluarkan sendiri di laman X beliau semalam selepas satu sesi temu bual turut diadakan membabitkan Zulhelmi bersama TMJ.
“Jalil Elias will be our player, yes,” jelas TMJ dan dikongsikan sendiri secara eksklusif oleh Zulhelmi mengenai pemain tengah yang sebelum itu beraksi bersama San Lorenzo.
Kenyataan mengenai Jalil bakal menyertai JDT bukan lagi sesuatu yang baharu, setelah salah seorang pengamal sukan di Argentina dikenali sebagai Cesar Luis Merlo menyatakan beliau akan meninggalkan San Lorenzo secara percuma untuk bersama pasukan tersebut bulan lalu.
“Ekslusif, Jalil Elias meninggalkan San Lorenzo secara percuma dan bermula Januari, dia akan beraksi di Malaysia.
“Pemain tengah tersebut telah pun menandatangani kontrak jangka masa panjang bersama Johor Darul Ta’zim (JDT),” jelas kenyataan tersebut di Instagram.
Untuk rekod, Jalil sebelum itu memulakan karier beliau secara profesional bersama Newell’s Old Boys pada musim 2015 sehingga 2018 sebelum menyertai Godoy Cruz di Argentina.
Setelah itu, Union Santa Fe berjaya mendapatkan khidmat pemain berusia 27 tahun tersebut secara pinjaman sebelum diikat rasmi San Lorenzo pada musim 2021 sehingga kini.
Beraksi di saingan teratas Argentina, pastinya Jalil memiliki banyak pengalaman berguna untuk dicurahkan bersama JDT pada musim hadapan yang sekali lagi akan beraksi dalam kejuaraan AFC Champions League (ACL)
Selain Jalil, dijangka beberapa lagi pemain import baharu pasukan tersebut turut akan diumumkan tidak lama lagi setelah TMJ menyatakan proses persiapan pasukan tersebut sudah pun hampir selesai.