ACL: JDT Gagal Cipta Kebangkitan Berdepan Ulsan Hyundai

Johor Darul Ta’zim (JDT) gagal untuk meneruskan momentum terbaik mereka dalam saingan AFC Champions League (ACL), selepas mereka mencatat kekahan 1-3 kali ini di tangan Ulsan Hyundai.

Beraksi di gelanggang lawan, JDT tampil dengan serba kurang menjadi khususnya pada separuh masa pertama permainan sehingga menyaksikan tuan rumah memperoleh tiga jaringan berharga.

JDT hanya memperoleh satu gol sahaja pada perlawanan ini di separuh masa kedua menerusi penyerang berbisa mereka iaitu Bergson da Silva dan keputusan kekal sehingga ke wisel penamat.

Awal permainan menyaksikan kedua pasukan tampil berhati-hati mengawal bola dengan tiada sebarang serangan berbahaya terhasil apabila bola lebih banyak berlegar di tengah padang.

Ulsan Hyundai terlebih dahulu membuka akaun jaringan mereka pada minit kelima menerusi kapten mereka, Jung Seunghyun yang bijak menyudahkan sepakan sudut diambil oleh rakan sepasukannya dari sebelah kiri.

Tersentak dengan gol tersebut, JDT cuba bangkit dengan meningkatkan intensiti serangan mereka di pelbagai arah untuk cuba kembali mendapatkan jaringan penyamaan.

Pasukan tuan rumah jelas tampil lebih bersedia pada awal perlawanan ini dengan mereka menutup segala ruang cuba dicipta oleh JDT, selain tekanan-tekanan tinggi diberikan oleh Ulsan Hyundai.

Gustav Erik terus melebarkan jaringan buat tuan rumah pada minit ke-12 menerusi gerakan solo beliau yang gagal untuk diatasi Matthew Davies untuk memastikan Ulsan Hyundai 2-0 di hadapan.

Penyerang import tuan rumah, Gustav Erik terus memberi kedukaan buat JDT menerusi jaringan kedua peribadi beliau untuk meletakkan kini Ulsan Hyundai 3-0 di hadapan selepas gerakan beliau sekali lagi berjaya mengatasi Matthew Davies pada minit ke-18.

JDT tidak berputus asa, dengan beberapa siri serangan berbahaya dilancarkan pasukan tersebut menerusi percubaan yang dilepaskan mereka dalam usaha mendapatkan gol pertama di gelanggang lawan.

Selepas 30 minit perlawanan, JDT masih lagi sukar untuk mendapatkan gol sulung mereka, dengan tuan rumah terus mempamerkan aksi cukup berkualiti bagi menguasai permainan.

Kim Taehwan terpaksa keluar lebih awal pada perlawanan ini selepas beliau dilayangkan kad kuning kedua permainan kerana mengasari Corbin Ong dan menyaksikan Ulsan Hyundai terpaksa beraksi dengan 10 pemain.

Bersambung di separuh masa kedua, perubahan dibuat oleh Esteban Solari dengan beliau memasukkan khidmat Fernando Forestieri dalam usaha memperkasakan posisi serangan JDT.

Akhirnya Bergson da Silva berjaya memecahkan kebuntuan buat JDT, selepas penyerang berbisa itu bijak melepaskan satu rembatan deras dalam petak penalti untuk menewaskan penjaga gol pasukan tuan rumah.

Memasuki 70 minit perlawanan, kedua pasukan dilihat seimbang menguasai permainan dengan JDT cuba untuk lebih mendominasi serangan bagi mendapatkan gol kedua mereka.

Keputusan perlawanan kekal tamat dengan JDT terpaksa menerima hakikat kekalahan mereka kepada gergasi dari Korea Selatan itu menerusi jaringan 1-3 di Stadium Bola Sepak Munsu.

Kesebelasan Utama

Ulsan Hyundai: Jo Hyeonwoo (Penjaga Gol), Lim Jongeun, Darijan Bojanic, Lee Donggyeong, Jung Seunghyun (Kapten), Kim Sung Joon, Gustav Erik, Kim Tae Hwan, Ataru Esaka, Seol Youngwoo, Kim Jihyun

Johor Darul Ta’zim (JDT): Ahmad Syihan Hazmi (Penjaga Gol), Matthew Davies, Mohd Afiq Fazail, Jordi Amat (Kapten), Nathaniel Shio Hong Wan, Bergson da Silva, Shane Lowry, Juan Muniz Gallego, Corbin Ong, Heberty de Andrade, Arif Aiman Hanapi

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN