Penyerang skuad Malaysia Bawah 23 Tahun, Jafri Fridaus Chew mahu Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) melangsaikan tunggakan gajinya yang berbaki 2 bulan.
Jafri yang kini menyarung jersi PKNS FC berkata kepada Berita Harian, dia sudah menunggu selama 4 bulan namun masih tiada sebarang perkembangan positif daripada pihak FAP.
“Saya amat memahami masalah FAP yang menghadapi bebanan kewangan, sebab itu selama ini saya tidak terlalu mendesak serta memberi masa untuk mereka menyelesaikannya.
“Namun, selepas sekian lama menunggu, tidak ada tindakan positif diambil persatuan itu untuk menyelesaikannya. Malah, FAP seolah-olah menyepi bila langsung tidak menghubungi saya untuk berbincang.
“Tunggakan gaji dua bulan itu mungkin dianggap tidak banyak tapi ia tetap hak saya sebagai pemain. Saya harap FAP tidak terlepas pandang isu ini walaupun kini saya sudah tidak bersama mereka lagi,” kata Jafri.
Pemain yang berusia 20 tahun ini sudah pun membuat aduan kepada Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) bulan lalu dan menyerahkan kepada PFAM untuk membantu dia mendapatkan haknya.
PKNS FC akan menentang Kelantan dalam pertemuan Liga Super di Stadium Shah Alam malam ini. Isu tunggakan gajinya tidak menjejaskan tumpuannya untuk mempamerkan aksi terbaik.
“Selepas hanya dimasukkan sebagai pemain gantian ketika menentang Kedah, saya perlu bekerja lebih keras untuk mendapatkan semula kepercayaan jurulatih, Datuk K Rajagobal.
“Perebutan tempat dalam pasukan memang sengit sama ada untuk posisi sayap atau penyerang tengah kerana perlu bersaing dengan pemain seperti Safee Sali, Mahali (Jasuli), Nurridzuan (Abu Hassan) serta pemain import.
“Tapi, selepas menjaringkan gol ketika menentang Hanelang FC pada perlawanan Piala FA hujung minggu lalu, saya mendapat keyakinan baru untuk terus bersaing. Saya harap diturunkan menentang Kelantan nanti,” katanya.