Penjaga gol utama skuad kebangsaan Singapura, Mohamad Izwan Mahbud terus mengembangkan karier profesionalnya selepas menyertai kelab Thai League 1 (T1), Trat FC bagi menghadapi musim 2020.
Thailand bukanlah asing buat Izwan Mahbud kerana sebelum ini beliau beraksi selama dua musim bersama Nongbua Pitchaya yang merupakan kelab di Thai League 2.
Penjaga gol berusia 29 tahun itu telah menandatangani kontrak selama setahun dengan pilihan lanjutan kontrak selama setahun.
”Saya tidak sabar untuk menyertai rakan sepasukan di Trat serta beraksi dalam saingan Thai League 1 dan mahu membalas kepercayaan yang diberikan oleh presiden, pengurus dan kelab ini terhadap saya.”
”Thailand merupakan rumah kedua buat saya pada dua tahun kebelakangan ini dan saya bersyukur di atas peluang dan pelajaran yang saya peroleh disini.”
”Saya memandang ke hadapan dalam karier seterusnya buat saya bersama Trat dan ia pasti akan menjadi lebih menarik,” ujar Izwan Mahbud lagi.
Rakan senegara Izwan, Baihakki Khaizan turut beraksi di Trat FC pada musim 2019 tetapi pemain pertahanan tengah itu memilih untuk berhijrah ke satu lagi pasukan T1 iaitu PT Prachuap FC.
Pada musim 2019, Trat FC menamatkan persaingan T1 di tempat ke-10 selepas mengumpul 35 mata hasil sembilan kemenangan, lapan keputusan seri dan 13 kekalahan.
Trat FC merupakan sebuah pasukan dari wilayah timur di sepanjang pantai Thailand yang menyaksikan jaraknya dengan Bangkok adalah kira-kira 315 km.
Kredit foto: The Straits Times