Bekas pemain dan kapten Liverpool, Jamie Carragher berkata Liverpool sepatutnya mempertimbangkan untuk mendapatkan kembali Philippe Coutinho dari Barcelona – sekiranya berpeluang -di jendela perpindahan musim panas ini.
Coutinho berhijrah meninggalkan Anfield untuk ke Nou Camp pada Januari 2018 dengan tanda harga £105 juta, sebelum meningkat kepada £142 juta . Namun pemain itu seperti menghadapi kesukaran di Sepanyol dan sering kali dikaitkan dengan perpindahan kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL).
Pembelian berbaloi
Salah satu sumber dari ESPN berkata Barcelona sanggup menanggung sedikit kerugian dengan menerima bidaan sekitar £90 juta. Carragher pula berpendapat Coutinho adalah pemain yang sesuai dan diperlukan Liverpool.
“Saya tidak mahu beria-ia untuk Coutinho kembali menyertai Liverpool. Tetapi jika ada kebarangkalian untuk beliau kembali ke Anfield dengan nilai yang dianggap wajar, serta kerana Barcelona berpendapat tidak mahu menanggung kerugian banyak selepas segalanya serba tidak menjadi, maka saya mahu itu terjadi,” ujar Carragher kepada Liverpool Echo.
“Adakah beliau akan diterima oleh penyokong? Saya tidak pasti. Mungkin ya, kerana saya tidak melihat sebab mengapa tidak. Saya tahu beliau tidak disambut baik [bersama Barcelona di separuh akhir kedua UCL], kerana beliau melakukan permohonan pindah.
“Tetapi [Xabi] Alonso juga mahu ke Real Madrid, [Luis] Suarez mahu ke Barcelona, dan semua orang masih menghargai pemain ini walaupun sudah meninggalkan Anfield.
“Adakalanya kita sendiri yang memilih siapa yang mahu kita hargai selepas pemain-pemain ini berhijrah. Tiada sesiapa yang memaksa mana-mana pemain untuk menyertai Real Madrid atau Barcelona. Sama juga seperti [Javier] Mascherano.
“Suarez hanya tidak disambut dengan baik di Anfield selepas apa yang beliau lakukan di Nou Camp [ketika menentang Liverpool]. Jika tidak, beliau juga akan terus disanjung apabila kembali ke Anfield. Jadi apa bezanya antara mereka yang lain dengan Coutinho?”
Berikan variasi
Liverpool menamatkan saingan EPL di kedudukan ke-2 di belakang Manchester City – walaupun dengan rekod kelab 97 mata – dan akan berhadapan dengan Tottenham Hotspur di perlawanan akhir UCL pada 2 Jun.
Selepas gagal memuktamadkan pembelian pemain tengah Lyon, Nabil Fekir sebelum ini, Carragher berpendapat Liverpool memerlukan seorang pemain tengah menyerang.
“Kita [Liverpool] kekurangan pemain jenis ini di dalam skuad,” tambah beliau.
“Kita sudah ada [Adam] Lallana dan [Xherdan] Shaqiri, namun pemain-pemain ini berada pada tahap yang berbeza. Sebagai perbandingan, Manchester City memiliki pemain-pemain seperti Bernardo Silva, David Silva dan Kevin de Bruyne.
“Liverpool tidak memiliki pemain-pemain sebegini. Pasukan ini sudah memiliki pemain tengah yang hebat, tetapi mereka adalah jenis pemain yang sama.”
Carragher berpendapat Coutinho mampu memberikan dimensi lain kepada bahagian tengah Liverpool, terutama dari segi kreativiti – sesuatu yang adakalanya mengganggu skuad kendalian Jurgen Klopp musim ini, terutama ketika memerlukan variasi atau Plan B dalam permainan.
Bagaimanapun Carragher berpendapat Coutinho hanya relevan untuk kembali ke Anfield sekiranya mendapat tawaran harga yang berbaloi.