Penyerang berbisa Terengganu, Ivan Mamut berazam untuk tampil lebih baik pada musim hadapan jika pasukan tersebut mengekalkan khidmatnya lagi untuk saingan akan datang.
Mamut yang ditandatangani Terengganu pada musim ini tampil sedikit perlahan pada beberapa perlawanan awal sehingga kritikan hadir dalam segelintir penyokong Sang Penyu menerusi media sosial.
‘Trust The Process’- Ivan Mamut Buktikan Beliau Mesin Gol Sejati Terengganu
Namun penyerang kelahiran Croatia ini perlahan-lahan mencipta momentum tersendiri sehingga kini beliau berjaya merekodkan diri selaku penjaring terbanyak buat Terengganu.
Hadir dengan reputasi cukup gah ketika ini, pemain tersebut jelas tidak sabar untuk menambah lagi akaun jaringan beliau untuk aksi seterusnya berdepan Kuala Lumpur City pada 21 Oktober ini.
Terengganu bakal membuat perhitungan seterusnya bersama KL City bagi aksi separuh akhir Piala Malaysia 2023, dengan Mamut mahu meneruskan rentak jaringannya sekali gus memberi bekalan gol lebih selesa sebelum aksi timbal balik.
Setakat ini, penyerang berusia 26 tahun itu mengakui dirinya masih lagi belum cukup berpuas hati dalam mencipta jaringan bersama Terengganu dan sedar harapan tinggi diletakkan para peminat buat dirinya serta rakan pemain, Adisak Kraisorn.
Untuk rekod, Mamut ketika ini sudah pun meledak 17 gol secara keseluruhannya dalam semua kejohanan disertai beliau bersama Sang Penyu sehingga kini.
Malah, 10 gol daripadanya diledak untuk saingan Liga Super sekali gus menjadikan dirinya sebagai antara penyerang berbisa musim ini dalam saingan Liga M.
“Fikiran saya kini terarah bagaimana untuk melangkah ke pentas final dan cuba memenangi Piala Malaysia kerana saya lihat prestasi semasa pasukan semakin meningkat selain peluang untuk menang tetap ada terutama ramai pemain muda yang bagus.
“Lagipun saya ada keyakinan yang tinggi kerana kami sudah membuat persediaan yang rapi sejak bulan lalu lagi dengan latihan keras untuk menjaringkan gol.
“Malah dalam saingan Piala AFC, kami berjaya kumpul empat mata dalam dua perlawanan dan ia sesuatu yang bagus buat pasukan, jadi saya yakin kami dapat kalahkan KL City.
“Secara peribadi saya juga berpuas hati dengan jaringan kerana ia tidak mudah lebih-lebih ini musim pertama saya bermain di Asia Tenggara.
“Bagaimanapun sejujurnya saya rasa perlu sedikit masa untuk menyerap tekanan di sini, mungkin jika dikekalkan pada musim depan, saya mampu lakukan dengan lebih baik.
“Buat rakan sepasukan, saya harap mereka juga sudah bersedia selepas beberapa kecederaan dialami mereka, ini peluang terbaik untuk menebus kehampaan gagal ke final dalam saingan Piala FA selepas tumpas kepada KL City pada Jun lalu,” ujarnya menerusi laporan Harian Metro.