Pengendali negara, Kim Pan-gon tampil optimis untuk aksi malam ini membabitkan Harimau Malaya bertemu Hong Kong biarpun tanpa kelibat dua pemainnya iaitu Arif Aiman Hanapi serta Endrick dos Santos.
Aksi yang bakal berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) malam ini menyaksikan skuad negara akan melayan kunjungan Hong Kong selepas segar dengan kemenangan lalu mengatasi Turkmenistan.
Sidang media praperlawanan menjelang Perlawanan Antarabangsa Tier 1, Malaysia lwn Hong Kong telah berlangsung di Johor Bahru, tengah hari tadi.
▶️ Baca penuh & lagi gambar di https://t.co/rptvoqByC9#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/niB3xEud9b
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) March 27, 2023
Menyedari tanpa kelibat dua pemain itu, Kim tetap tampil dengan sisi positif sambil menyifatkan sukar untuk mendapatkan barisan pemain terbaik sepanjang karier beliau selama 12 tahun dalam bidang kejurulatihan antarabangsa.
Apapun, Kim turut berkata tentang ketiadaan Arif serta Endrick sebenarnya tidak memberi kesan besar dalam persiapan beliau buat skuad kebangsaan yang akan menghadapi cabaran getir daripada Hong Kong.
“Saya simpati dengan apa yang berlaku terhadap Arif (Aiman Hanapi) dan Endrick (Dos Santos) yang cedera dan mereka perlu dilepaskan bagi memastikan kecederaan dialami pulih secepat mungkin.
“Apapun, sepanjang 12 tahun pengalaman selaku jurulatih sama ada di Hong Kong mahupun di Malaysia jarang saya dapat mengumpul barisan pemain sempurna, tapi itulah lumrah dan saya menerima apa jua yang berlaku.
“Saya optimis dengan 25 pemain sedia ada kerana mereka boleh beraksi jika tersenarai dalam skuad utama, malah pemain ini membentuk satu pasukan kuat dan tidak terlalu bergantung kepada dua pemain sahaja,” katanya menerusi Arena Metro.
Pada masa sama, Kim turut menegaskan setiap para pemain kendaliannya tidak menghadapi sebarang masalah untuk mempraktikkan taktikal yang diterapkan olehnya untuk berdepan pasukan lawan.
Jelas beliau lagi, para pemainnya itu juga akan tampil lebih kuat kerana masing-masing mempunyai jiwa untuk mencapai kemenangan dan kejayaan.
Skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon melakukan persiapan terakhir menjelang Perlawanan Antarabangsa Tier 1 menentang Hong Kong di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor, 10.00 malam esok.
▶️ Lagi gambar di https://t.co/QdROhgqGUB#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/tfkKz9GbLg
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) March 27, 2023
“Saya tidak pernah menyerah kalah dan tidak pernah diri ini tidak mampu buat, sebaliknya harus bersikap positif dan perlu mempercayai kepada setiap pemain.
“Kami berada dalam satu pasukan dan itu amat penting dan tidak sesekali bergantung kepada seorang atau dua pemain sahaja,” katanya.
Antara barisan pemain yang dijangka akan beraksi dalam kesebelasan utama malam esok ialah Shahrul Saad, Dion Cools, Paulo Josue, Faisal Halim, dan beberapa nama lain lagi.