Sehingga kini skuad Azzurri masih belum mempunyai pengendali tetap selepas Gian Piero Ventura dipecat susulan kegagalan Itali layak ke Piala Dunia di Russia.
Naib Pesuruhjaya Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC), Alessandro Costacurta menjelaskan kepada sidang media bahawa keputusan pemilihan jurulatih baharu pasukan itu bakal dimuktamadkan pada 20 Mei ini.
Antara nama-nama besar yang dikaitkan dengan jawatan itu ialah pengendali Zenit St Petersburg Roberto Mancini, bos Chelsea Antonio Conte, bekas pengendali Leicester Claudio Ranieri, yang kini bersama kelab Perancis Nantes, dan Carlo Ancelotti yang kini tidak bersama mana-mana pasukan selepas dipecat Bayern Munich.
“Kami akan memberitahu anda nama pengendali baharu pada 20 Mei.
“Jika kami mempunyai peluang untuk mendapat seseorang lebih baik daripada Di Biagio, dan saya tidak rasa ada ramai, kami akan mendapatkannya.
“Bukan mudah untuk mencari seseorang yang mampu melakukan tugas dengan sempurna, dan kami perlu melihat apa yang perlu dilakukan bagi membentuk pasukan yang layak untuk Euro 2020.
“Saya rasa ia lebih penting untuk memikirkan tentang pemain yang kami ada, kerana saya ragu-ragu Jose Mourinho atau Pep Guardiola mampu melakukan dengan lebih baik semalam,” katanya.
Ketika ditanya masa depan Luigi Di Biagio, Costacurta berkata, masih ada peranan bagi jurulatih berusia 46 tahun itu sekiranya tidak diberi tugas secara tetap,
Jurulatih skuad bawah 21 tahun itu dilantik secara sementara selepas pemecatan Gian Piero Ventura susulan skuad Azzurri gagal melayakkan diri ke Piala Dunia buat kali pertama sejak 1958 setelah kalah dalam aksi menentang Sweden pada November lalu.