Isu Perkauman: Sterling Anggap Bonucci ‘Kelakar’ Kerana Salahkan Kean 50%

Raheem Sterling nampaknya tidak gembira dengan reaksi Leonardo Bonucci yang menganggap Moise Kean 50% bersalah di dalam isu serangan perkauman ke atas pemain itu. Sterling anggap Bonucci sedang buat kelakar kerana menyalahkan mangsa.

Moise Kean menjadi mangsa terbaru perkauman di dalam stadium di Itali. Ianya berlaku ketika aksi Juventus menentang Cagliari.

Pemain kebangsaan Itali berusia 19 tahun itu diserang teruk oleh penyokong Cagliari dengan sorakan perkauman sepanjang malam. Ada penyokong melakukan aksi monyet menghina Kean.

Sebagai respon, pada minit ke-85, Kean telah meraikan gol beliau di hadapan penyokong tuan rumah. Ianya membuatkan penyokong tuan rumah semakin agresif.

Kapten Juventus dan beberapa pemain Juventus mengadu akan hal itu kepada pengadil.

Kapten Cagliari, iaitu Ceppitelli pergi ke arah seksyen tempat duduk di belakang gol sambil meminta mereka menghentikan sorakan perkauman itu.

Juventus menang 2-0 dalam aksi itu. Beberapa rakan pemain menyatakan sokongan kepada Kean.

Namun begitu, Bonucci pula menyatakan pendirian berbeza.

Bonucci berkata:

“Kean tahu sepatutnya apabila beliau menjaringkan gol, beliau harus hanya meraikan bersama rakan sepasukannya. Beliau tahu dia dapat melakukan perkara berbeza dalam perkara itu.”

“Ada bunyi sorakan perkauman selepas gol itu. Blaise mendengarnya dan marah. Saya rasa ianya kesalahan 50-50. Kerana Moise tidak sepatutnya berbuat begitu di hadapan curva.”

Komen Bonucci itu mengundang rasa kecewa berbaur kelakar pada Raheem Sterling.

Sterling memuat naik post Instagram dengan kapsyen:

“Kesalahan tu 50-50 ke Bonucci? Apa yang anda boleh lakukan sekarang hanyalah gelak.”

Ini bukanlah kali pertama musim ini Serie A berhadapan dengan isu seperti ini. Sebelum ini melibatkan Koulibaly yang membuatkan pengurusan Napoli mengancam untuk terus keluar padang jika ia berlaku lagi.

Leave a Reply