Isu Penalti Terus Hantui Rekod Buruk Malaysia Di Pentas Piala Asia B-23

Hasrat Malaysia bawah 23 (B-23) hampir pasti tertutup untuk mara lebih jauh dalam saingan Piala Asia B-23 apabila mereka mencatat kekalahan kedua di peringkat Kumpulan D kepada Vietnam di Stadium Antarabangsa Khalifa, Qatar.

Dua jaringan Vietnam terhasil menerusi Khuat Van Khang serta sepakan penalti di separuh masa kedua hasil ledakan Vo Hoang Minh Khoa yang menyaksikan negara gagal memperoleh sebarang mata selepas mengharungi dua perlawanan.

Apa yang mengecewakan, ini menjadi kali kedua Malaysia memberi sepakan penalti buat pasukan lawan selepas mengharungi dua aksi di pentas Piala Asia B-23 dengan giliran Ubaidullah Shamsul pula menjadi penyebab isu tersebut.

Awal perlawanan menyaksikan segalanya tampak seimbang buat kedua pasukan dengan masing-masing berjaya mencipta satu percubaan untuk menguji antara satu sama lain.

Sesekali Malaysia berjaya mencipta tekanan tinggi untuk memastikan pertahanan Vietnam tidak begitu selesa mengawal bola serta cuba mencari ruang mendapatkan gol.

Selepas 10 minit aksi berlangsung, kedua pasukan masih gagal mendapatkan sebarang jaringan dan Harimau Malaya B-23 terlebih dahulu dilayangkan kad kuning selepas ada kekasaran dibuat oleh Muhammad Khalil.

Skuad kebangsaan sebenarnya tampil lebih baik pada aksi ini sebenarnya jika dibandingkan perlawanan lalu dengan mereka sangat agresif ketika menyerang, tetapi ketumpulan sentuhan akhir masih menjadi penghalang.

Vietnam terlebih dahulu mendapat gol sulung perlawanan pada minit ke-39 menerusi satu sepakan percuma di luar kotak penalti hasil ledakan Khuat Van Khang yang mudah menewaskan Azim Al Amin.

Menjelang penghujung separuh masa pertama, secara tiba-tiba Malaysia tampil lebih agresif dengan beberapa siri serangan berbahaya dilancarkan ke arah kubu lawan.

Manakala Vietnam pula lebih banyak berada di kawasan sendiri selepas mereka memperoleh jaringan sulung untuk menanti sahaja gerakan cuba dicipta Harimau Malaya.

Fergus Tierney hampir mendapatkan gol penyamaan buat Malaysia sebenarnya, selepas beliau mendapat satu hantaran lintang berkualiti daripada Luqman Hakim, namun tandukan beliau sedikit tersasar tinggi pada penghujung separuh masa pertama.

Bersambung di separuh kedua, beberapa perubahan dibuat Juan Torres Garrido terutama sekali membabitkan senarai pemain di barisan hadapan.

Vietnam mendapat sepakan penalti pada minit ke-57 selepas ada kekasaran dibuat pertahanan negara, Ubaidullah Shamsul untuk terus memberi khabar duka buat skuad kebangsaan.

Jaringan penalti tersebut berjaya disempurnakan oleh Vo Hoang Minh Khoa untuk terus meletakkan Vietnam selesa 2-0 di hadapan pada separuh masa kedua perlawanan.

Keputusan perlawanan kekal memihak kepada Vietnam yang unggul meraih kemenangan kedua mereka dalam saingan Piala Asia B-23 kali ini di Qatar.

Sementara Malaysia boleh cuba untuk mendapatkan mata pertama mereka pada aksi terakhir peringkat Kumpulan D selepas ini dengan berdepan Kuwait pula.

Kesebelasan Utama

Malaysia: Muhammad Azim Al Amin (Penjaga Gol), Muhammad Ubaidullah, Muhammad Khalil, Harith Haiqal, Muhammad Najmudin Akmal, Muhammad Mukhairi Ajmal (Kapten), Luqman Hakim, Nooa Laine, Muhamad Umar Hakeem, Ahmad Zikri, Fergus Tierney

Vietnam: Quan Van Chuan (Penjaga Gol) (Kapten), Luong Duy Cuong, Le Nguyen Hoang, Vo Hoang Minh Khoa, Vo Nguyen Hoang, Nguyen Van Truong, Nguyen Van Tung, Ho Van Cuong, Khuat Van Khang, Nguyen Thai Son, Nguyen Manh Hung

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN