Isu kecederaan yang dialami penjaga gol utama Terengganu iaitu Rahadiazli Rahalim pada perlawanan lalu dalam saingan Liga Super 2022 ketika menentang Melaka United, pastinya menimbulkan keresahan buat para penyokong.
Apa tidaknya, aksi final Piala FA 2022 kini hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi dan persiapan yang sepatutnya diharap berjalan lancar kini sudah pun membuatkan kem Terengganu sedikit terganggu.
SEMOGA CEPAT SEMBUH RAHADIAZLI
Sama-sama kita doakan agar penjaga gol kita, kecederaan Rahadiazli Rahalim tidak serius dan mendoakan agar beliau kembali sembuh seperti sediakala. #TerengganuFC#WeBleedBlackAndWhite pic.twitter.com/QULnczFWF0
— Terengganu Football Club (@FCTerengganu) September 3, 2022
Rahadiazli yang mempamerkan aksi cemerlang ketika ini bersama Terengganu, mengalami saat mencemaskan dalam hidup beliau, apabila terpaksa dikejarkan ke hospital setelah mengalami kecederaan pada minit ke-46 semalam di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).
Walaupun begitu, menurut info daripada saudara Joe Rozi di Twitter, Rahadiazli sudah pun tersedar setelah sebelum itu pemain tersebut koma hasil perlanggaran keras di bahagian kepala dirinya bersama pemain Melaka United, Harith Naem Jaineh.
Untuk ketika ini, keresahan para penyokong pastinya timbul setelah sebelum itu Rahadiazli menjadi antara tonggak utama bersama Terengganu kerana aksi cemerlangnya mengawal gawang gol dengan konsisten.
🏆PLAYER OF THE MATCH : RAHADIAZLI RAHALIM🧤#TerengganuFC#WeBleedBlackAndWhite pic.twitter.com/PkbkdQ6gY2
— Terengganu Football Club (@FCTerengganu) August 6, 2022
Walaupun begitu, Terengganu masih lagi mempunyai dua penjaga gol simpanan mereka untuk digunakan dalam aksi final ini iaitu Suhaimi Husin serta Sharmiza Yusoff.
Namun peluang untuk Suhaimi dipilih oleh Nafuzi Zain selaku penjaga gol utama aksi tersebut lebih cerah kerana pemain ini sebelum itu kerap mengisi kekosongan di posisi tersebut jika ketiadaan Rahadiazli.
Musim lalu, Rahadiazli terpaksa melupakan kempen saingan Liga Malaysia lebih awal setelah beliau disahkan mengalami kecederaan yang agak teruk untuk meneruskan permainan bersama Terengganu.
Khidmat Suhaimi Husin ketika itu dilihat berjaya menampung kekosongan tersebut dengan baik dan menghabiskan saingan musim lalu dengan konsisten bersama Terengganu.
🎥SHORT CLIP : Some of Suhaimi Heroic Saves 🔥#TerengganuFC #WeBleedBlackandWhite #WinBackMission #TFCTV pic.twitter.com/5GLOD4TyHC
— Terengganu Football Club (@FCTerengganu) December 22, 2021
Musim ini, Suhaimi lebih banyak memanaskan bangku simpanan dan hanya sesekali sahaja diturunkan setelah Rahadiazli kembali merampas tempat tersebut selaku penjaga gol utama buat Terengganu.
Kelibat Suhami kemungkinan besar akan diuji dalam aksi final ini dengan menggalas tanggungjawab besar untuk menepis percubaan-percubaan lawan yang jelas sangat konsisten di bahagian serangan.
Jika melihat keadaan semasa Rahadiazli, beliau mungkin memerlukan rehat yang lebih lama dan ini menandakan Suhaimi akan kembali memegang posisi utama selaku penjaga gol Terengganu.
Walau apapun keputusannya, dijangka Nafuzi sudah pun memikirkan segala perkara tersebut dan masih lagi mempunyai tempoh untuk mempersiapkan pasukannya.
Terengganu bakal berdepan JDT pada 10 September ini di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dalam misi mereka untuk merebut kejuaraan Piala FA musim 2022.