Isu Gaji Bocor: PFAM Desak Individu Yang Terlibat Dihukum

Semalam, dokumen mengenai senarai gaji semua pemain pasukan Kedah didedahkan secara meluas di laman media sosial dan aplikasi whatsapp yang dipaparkan menerusi satu muka surat penuh membabitkan pembayaran gaji pemain itu untuk musim 2017 dan juga musim 2018.

Dipercayai dokumen ini disebarkan oleh staff Kedah FA sendiri kerana maklumat ini hanya mampu diakses oleh mereka.

Dokumen ini juga turut mendedahkan Kedah memperuntukkan antara USD15,000-20,000 (RM58,623-78,164 berdasarkan kadar tukaran mata wang asing USD-Ringgit) untuk 2 lagi pemain import mereka.

Setiausaha Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Ahmad Fauzi Saari menyifatkan tindakan individu terbabit menyebarkan maklumat itu adalah sangat tidak profesional dan jauh bertentangan dari nilai integriti serta prinsip profesionalisme yang dimahukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP).

“PFAM mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak yang sangat tidak bertanggungjawab dalam membocorkan maklumat gaji para pemain pasukan Kedah bagi musim 2018. Perihal gaji merupakan perkara yang amat sensitif dan kebocoran ini merupakan sebuah pencabulan privasi terhadap para pemain.

“Melalui kebocoran ini juga, ia boleh memberi ancaman keselamatan kepada pemain dan keluarga masing-masing. Malah, keadaan akan menjadi lebih buruk sekiranya maklumat yang dipaparkan itu adalah tidak benar dan sekaligus akan memberikan kesan negatif kepada para pemain,” katanya melalui satu kenyataan media di laman facebook PFAM.

Pihak PFAM juga mahu pihak Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) menyiasat dan individu yang didapati bersalah mendapat hukuman yang setimpal.

“PFAM turut berpendapat, betapa tindakan ini adalah sangat tidak profesional dan bertentangan jauh dari nilai integriti serta prinsip profesionalisme yang dimahukan oleh FAM dan FMLLP. Oleh itu, PFAM mendesak agar pihak yang bertanggungjawab ke atas kebocoran ini perlu dihukum sewajarnya.

Dokumen mengenai senarai gaji pemain Kedah yang tular di media sosial.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KFA, Yusdi Madeonus Mohamad Yunus, bercakap kepada Berita Harian, pihaknya akan menyiasat kesahihan maklumat yang disebarkan itu sebelum mengambil tindakan sewajarnya.

“Sebagai CEO yang baharu, saya mengambil serius mengenai penyebaran dokumen gaji membabitkan pemain di laman sosial walaupun kesahihannya dilihat agak meragukan.

“Namun, saya kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang mendedahkan perkara sulit terutama berkaitan gaji pemain.

“Memang berita yang tular dalam Internet sukar dibendung, malah setiap hari kita didedahkan dengan banyak berita yang kurang sahih seperti berlaku dalam hal politik dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi.

Yusdi bagaimanapun enggan mengulas lanjut sehingga siasatan dalaman pihak KFA selesai.

“Buat masa ini saya tak dapat beri ulasan lebih lanjut namun saya mengambil sepenuh perhatian mengenai perkara ini,” katanya.

Jika senarai nilai gaji ini tepat seperti yang tertera dalam dokumen ini, bermakna Kedah membelanjakan kira-kira RM1.3 juta sebulan untuk gaji pemain mereka. Ini bermakna bajet semusim Kedah FA untuk gaji pemain (termasuk KWSP dan Socso) mungkin mencapai jumlah antara RM15-20 juta semusim.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN