Istilah direhatkan yang sering digunakan oleh pihak pengurusan bola sepak di Malaysia boleh dikatakan sama seperti harapan palsu kepada jurulatih itu serta kepada para peminat.
Hal ini kerana, apabila seseorang itu sudah dapat arahan untuk direhatkan, ini bermakna beliau hampir pasti akan dipecat dari jawatan yang sedia ada.
Jadi, apakah masih relevan menggunakan istilah tersebut dan kenapa kelab tidak berterus terang saja mengatakan yang jurulatih tersebut sudah dipecat?
Perkara ini sudah menjadi normal di Liga Malaysia (Liga M) berbanding liga luar yang terus terang kepada media mahupun peminat jika mereka memecat jurulatih tersebut.
Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Satianathan sendiri pernah mengeluarkan kenyataan agar jadi lebih berani dan tidak perlu berselindung disebalik terma “direhatkan” tersebut.
Apa yang diperjuangkan oleh beliau adalah satu langkah tepat dan kenapa harus menggunakan terma “direhatkan” sedangkan pihak pengurusan sememangnya sudah tidak berminat dengan khidmat jurulatih tersebut?
Terbaharu untuk tahun 2023 adalah situasi di Kelantan di mana ketua jurulatih mereka, Choi Moon-sik ‘direhatkan’ 40 minit sebelum sepak mula menentang Terengganu.
Ingatkan keputusan drastik ini dapat memberi kelebihan serta sinar buat The Red Warriors namun sebaliknya pula terjadi apabila Kelantan menjadi santapan tuan rumah dengan kekalahan 0-5.
Jarang kita mendengar bila seseorang jurulatih itu direhatkan dan akan kembali ke pangkuan pasukan.
Perkara ini ada berlaku tetapi amatlah jarang berlaku. Misalnya, ketua jurulatih UiTM sebelum ini, Frank Bernhardt terpaksa direhatkan seketika dan kembali buat kemunculan bersama pasukan tersebut.
Dalam situasi tersebut, barulah terma “direhatkan” itu digunakan dengan sebetulnya. Ini tidak, mereka gunakan perkataan tersebut seolah-olah beliau masih berada di dalam perancangan pasukan tapi hakikatnya? Tiada.
Untuk masa akan datang, kita mengharapkan pihak pengurusan atau pemilik kelab lebih bijak dalam menggunakan istilah tertentu agar ia tidak menjadi salah faham para penyokong.
Menarik untuk kita lihat pada musim ini pasukan mana yang akan gunakan perkataan yang tepat bagi menggambarkan jurulatih itu boleh ucap selamat tinggal kepada bekas pasukannya – sekurang-kurangnya dengan tenang.