‘Diketuk Nyaring Bunyinya, Tapi Kosong Isinya’ – Rupa-Rupanya Lim Teong Kim Hanyalah Tong Kosong

Lim Teong Kim Koyak

Satu masa dahulu, nama Datuk Lim Teong Kim cukup tersohor di persada bola sepak tanah air disebabkan reputasinya yang cukup membanggakan.

Jurulatih kelahiran Melaka itu pernah menjadi penolong jurulatih skuad Bayern Munich bawah 19 tahun (B-19) dan berjaya melahirkan beberapa orang pemain ternama dunia termasuk pemenang Piala Dunia 2014, Thomas Muller.

Beliau juga pernah dibayar gajinya dengan harga yang cukup tinggi oleh Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mengetuai program di Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) yang menjadi pusat bagi melahirkan pemain elit negara.

Namun sejak dipilih untuk membimbing Perak FC dalam aksi Liga Malaysia (Liga-M), jurulatih berusia 59 tahun itu masih gagal untuk membawa pasukannya beraksi pada tahap kualiti yang diharapkan.

Kemuncaknya adalah reaksi dingin Teong Kim ketika ditemubual wartawan selepas tamat perlawanan menentang JDT di Stadium Ipoh pada malam tadi yang menyaksikan pasukannya tewas 5-0 membuatkan wartawan yang menemubual jurulatih itu terkedu.

Beberapa soalan pertama yang diajukan mengenai hasil perlawanan hanya disambut dengan gelengan kepala dan isyarat tidak dengar.

“Kekurangan. You nampak game bukan, you fikir sendiri lah apa kekurangan kami. Bukan you tak lihat game. Siapa yang lihat dia taulah,” ujarnya sebelum meninggalkan temubual tersebut.

Tindakannya itu turut mendapat reaksi Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) yang meluahkan rasa kecewa dengan cara Teong Kim menjawab soalan tidak sepadan denan pengalaman luasnya di Eropah.

Body language serta cara beliau berdepan dengan media untuk dua soalan ringkas itu amat negatif pada pandangan SAM,” ujar Presiden SAM, Norismadi Abdul Manap dalam kenyataannya.

“Rakan media faham situasi dan emosi jurulatih selepas mengalami kekalahan besar, tetapi kami hanya menjalankan tugas kami.

“Janganlah menjadikan media sebagai tempat untuk melepaskan geram kerana kami tidak mencampuri sebarang urusan dalam pasukan anda dan tidak mempunyai sebarang agenda peribadi.

“Media berperanan untuk menyampaikan maklumat dan tidak seharusnya menerima layanan seperti yang berlaku semalam.

“Sekali lagi SAM menyatakan kekecewaan dan mengucapkan selamat maju jaya kepada Teong Kim dalam usahanya mencari kemenangan dalam perlawanan akan datang.”

Sebelum ini persoalan timbul adakah beliau perlukan lebih lagi masa bagi membentuk ‘The Bos Gaurus’ atau sebenarnya beliau adalah seorang jurulatih yang ‘overrated’.

Lim Teong Kim: Jurulatih Yang ‘Overrated’ Atau Perlukan Masa?

Teong Kim sebelum ini kerap mengkritik perkembangan bola sepak negara terutamanya menerusi akaun media sosial dan juga beberapa saluran media yang menemubualnya.

Tetapi sejak masuk ke dalam sistem, beliau kini sudah semakin terkenal dengan pelbagai alasan. Kita pernah mendengar bola seperti katak melompat dan berseloroh mahu memanggil bomoh. Kini, bulan puasa pula jadi alasan tentang aksi longlai anak buahnya.

Jika inilah sikap yang berterusan ditampilkan, ternyata beliau cumalah tong kosong. Diketuk nyaring bunyinya, tapi kosong isinya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN