Semua sedia maklum, di Major League Soccer (MLS) iaitu liga bola sepak utama di Amerika Syarikat terdapat 3 pasukan yang berpangkalan di Kanada.
3 pasukan itu adalah Montreal Impact, Toronto FC dan Vancouver Whitecaps.
Pada asasnya, jika pasukan yang berpengkalan di Kanada pasti ramai pemainnya juga berasal dari Kanada bukan?
Jawapannya tidak.
Walaupun MLS mempunyai 3 pasukan dari Kanada namun tidak ramai pemain Kanada yang berada dalam 3 kelab tersebut atau kelab MLS lain yang berpengkalan di Amerika Syarikat.
Layanan kelas kedua
Satu perkara yang menjadi isu dalam hal ini adalah walaupun terdapat pasukan Kanada di MLS, tetapi pemain Kanada dilayan seperti ‘orang luar’ oleh kelab-kelab MLS.
Ini juga termasuk layanan kelab-kelab MLS yang berasal dari Kanada!
Statistik menunjukkan:
- Terdapat 560 tempat untuk direbut dalam senarai pemain di seluruh kelab MLS.
- Hanya 24 pemain Kanada yang bermain di MLS dari keseluruhan 560 pemain.
- 15% dari 24 kelab MLS adalah dari Kanada (3 kelab).
- 4% pemain yang berasal dari Kanada bermain di MLS.
Hal ini disebabkan walaupun terdapat kelab Kanada di MLS, pemain dari Kanada dikira sebagai ‘pemain luar’ kecuali jika mereka beraksi untuk kelab Kanada menurut peraturan MLS.
Sedangkan bagi pemain Amerika Syarikat mereka akan dikira sebagai ‘pemain tempatan’.
Disebabkan layanan kelas kedua yang diterima pemain Kanada, mereka terpaksa bertarung separuh nyawa untuk mendapat tempat dalam mana-mana pasukan MLS termasuk pasukan MLS yang berpengkalan di Kanada.
Hal ini kerana terdapat pemain dari negara luar yang lain menjadikan persaingan semakin sukar untuk pemain Kanada.
Namun tindakan MLS menganggap pemain Kanada sebagai ‘orang luar’ bukanlah kemahuan mereka.
MLS terikat dengan undang-undang imigresen Amerika Syarikat yang menetapkan hanya pemilik kad pengenalan atau green card sahaja layak dikira sebagai ‘orang tempatan’.
“Jika kita layan orang Kanada sebagai orang tempatan, ia tak adil bagi orang dari negara luar selain Kanada.” kata ketua eksekutif Kesatuan Pemain MLS, Bob Foos.
Disebabkan sekatan ini, Kanada telah kerugian dari segi pembangunan pemain muda.
Hal ini kerana, mereka mempunyai akademi yang berkualiti tinggi namun bakat-bakat itu tidak dapat diserapkan ke kelab-kelab MLS.
Alasannya adalah kerana kelab MLS yang berpengkalan di Amerika Syarikat tidak minat mengambil pemain berasal dari Kanada.
Jadi ini merupakan satu kerugian buat Kanada yang mahu membangunkan bola sepak mereka.
Pengalaman Issey Nakajima-Farran di MLS
Issey Nakajima-Farran merupakan satu dari beberapa pemain import dari Kanada.
Sebelum beliau ke Terengganu, Issey pernah juga bermain di MLS dan itu satu pengalaman yang buruk buatnya.
Issey yang pada mulanya bermain di Alki Lanarca di Cyprus kembali ke Kanada untuk bermain di MLS bersama kelab kesayangannya iaitu Toronto FC.
“Saya pulang kerana saya rasa jika saya balik, saya akan dihormati dan menjadi inspirasi pemain muda kerana saya merupakan pemain kebangsaan Kanada dan bermain di luar negara.”
Namun jangkaan Issey itu meleset apabila beliau sukar untuk mendapatkan tempat dan hanya mampu membuat 5 penampilan untuk Toronto.
Lebih malang Issey menjadi mangsa sistem pertukaran (trading) yang digunakan di MLS apabila ditukarkan ke Montreal Impact pada minit akhir jendela perpindahan.
“Waktu saya rasa mana mungkin benda ini akan terjadi? Saya sayangkan Toronto dan tidak mahu ke Montreal.”
Bagi Issey MLS hanyalah sebuah liga Amerika Syarikat yang memanipulasi bandar-bandar di Kanada.
“Apabila terdapat kelab Kanada, ia sepatutnya dijadikan ruang untuk pemain muda Kanada beraksi di peringkat tertinggi.”
“Namun apa mereka buat? Mereka bawa masuk pemain dari Amerika Syarikat. Malah saya dulu pernah cuba ditukarkan dengan seorang pemain dari sana!”
Perkara ini bukan terjadi pada Issey sahaja malah kepada semua pemain Kanada yang bermain di MLS.
Bagi Issey, MLS tidak menghormati pemain Kanada yang bermain di liga mereka.
“Saya kecewa selepas bertahun lamanya saya berkelana di Eropah dan Australia dan kemudiannya pulang ke Kanada saya lihat Toronto sudah menjadi ‘pasukan Amerika Syarikat’.”
“Anak-anak muda di Kanada mahu saksikan pemain kebangsan mereka bermain untuk pasukan tempatan mereka. Dari situ kami boleh jadi wira dan inspirasi kepada mereka. Itu sangat penting.”
“Namun apa boleh buat? Saya cuma seorang pemain.”
Baca juga: Major League Soccer (MLS): Liga Bola Sepak Gaya Amerika Syarikat