Ketua jurulatih Terengganu FC, Irfan Bakti Abu Salim menerima dengan hati terbuka kekalahan mereka dalam saingan unifi Liga Super Malaysia (MSL) 2019, tewas 0-3 kepada Pahang, malam tadi.
Selepas dua aksi dengan barisan pemain yang boleh dikatakan antara yang terbaik di Liga Malaysia (Liga M), Terengganu FC tampak masih bergelut mencari kemenangan sulung.
Ditemui media selepas kekalahan tersebut, Irfan menyatakan yang Sang Penyu kalah di semua bahagian dalam perlawanan tersebut dengan hanya aksi babak kedua para pemainnya cuba bangkit.
“Kami kalah di semua bahagian, yang mana hanya di babak kedua kami bangkit dan berani untuk bergerak ke depan.
“Di babak pertama kami tidak boleh bergerak, tidak boleh keluar dari kawasan sendiri dan itulah yang mereka (Pahang) berjaya jaringkan dua gol di babak pertama,” jelas Irfan.
Selain itu, Irfan turut dilihat mengkritik beberapa pemainnya yang menurutnya nampak terlampau duduk ke bawah dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Makmur tersebut.
Turut menerima komentarnya adalah pemain yang disebut-sebut bakal menjadi tunjang kekuatan pasukan pada malam ini, Lee Tuck dan penyerang yang juga kapten pasukan, Kipre Tchetche.
“Babak kedua kami telah baiki sedikit dan mempunyai peluang untuk menjaringkan gol. Pada malam ini, Tchetche memang gagal sebagai penyerang utama kami.
“Masalahnya adalah pemain terlampau deep (ke bawah) sangat untuk bertahan. Kenapa mahu bertahan sedangkan kita harus menyerang. Hanya Tchetche seorang berada di atas.
“Lee Tuck, Sanjar (Shaakhmedov) dan yang lain semua berada di bawah dan ianya tidak harus berlaku. Sepatutnya mereka bergerak ke depan,” ulas Irfan lagi mengenai aksi pemain-pemainnya.
Namun, Irfan juga memuji kebangkitan semula anak-anak buahnya dalam aksi babak kedua tetapi ianya tidak cukup untuk menidakkan tiga mata berharga buat Tok Gajah.
Untuk rekod, Terengganu FC pernah tewas di tangan Pahang dengan jaringan besar iaitu 1-3 dalam saingan Liga Super musim lalu dengan kekalahan malam tadi adalah yang terburuk.
Selepas dua perlawanan, Terengganu FC kini berada di kedudukan ke-10 liga dengan potensi bakal dipintas oleh PKNP FC yang akan membuat perhitungan menentang Felda United pada malam ini.