Pengendali Terengganu FC Irfan Bakti Abu Salim menuntut anak buahnya segera bangkit menamatkan kemarau kemenangan di halaman sendiri apabila dijadualkan bertemu Melaka United dalam aksi Liga Super sabtu ini.
Jurulatih berpengalaman berusia 67 tahun mengakui kurang berpuas hati dengan prestasi pasukannya yang hanya mampu mencatat keputusan seri dalam 3 perlawanan di tempat sendiri berturut-turut.
“Selepas lima perlawanan, bagi saya peningkatan hanyalah daripada segi semangat saja manakala peningkatan berkaitan keyakinan bersama dengan bola masih lagi kurang, pemain dilihat masih lagi takut untuk menguasai bola.
“Apa yang kami harapkan selepas ini terutama bertemu Melaka United (MU) di laman sendiri Sabtu ini, pemain harus mengambil peluang itu sebaik mungkin untuk mengutip tiga mata pertama di depan penyokong sendiri,” ujar Irfan dalam Berita Harian.
Terengganu FC mencatat keputusan seri dalam 3 perlawanan iaitu 1-1 dengan PKNS FC, 2-2 dengan Johor Darul Ta`zim (JDT) dan terbaru seri 1-1 dengan Perak Jumaat lalu.
Situasi itu menyebabkan skuad Penyu digelarkan sebagai ‘Pakar seri’ dalam kalangan penyokongnya namun pemain sayap pasukan itu, Shahrul Aizad tekad memastikan pasukannya meraih 3 mata penuh selepas ini.
“Perlawanan Sabtu ini adalah peluang terbaik buat kami untuk merakam kemenangan pertama musim ini sesudah tiga perlawanan terdahulu di tempat sendiri berakhir dengan keputusan seri.
“Kami tidak mahu dilabel pakar seri apatah lagi bermain di stadium sendiri sebaliknya tiga mata sudah pasti menjadi impian kami dan juga peminat setia skuad TFC,” katanya.
Mengulas mengenai kekuatan skuad kendalian Zainal Abidin Hassan, Shahrul menyifatkan pasukan Melaka United musim ini adalah berbeza jika dibandingkan musim lalu, dan beliau tidak mahu memikirkan perkara itu sebaliknya berazam memperagakan aksi terbaik Sabtu ini.
“Pada saya kami mampu menyaingi skuad itu biar pun atas kertas pasukan itu juga mempunyai pemain berkualiti, tapi misi kami adalah untuk menang,” kata Shahrul yang pernah bermain dengan pasukan kuantan FA.