Kekalahan 1-3 Terengganu FC (TFC) kepada Selangor pada aksi pusingan ketiga Shopee Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah kelmarin mengundang kritikan pedas daripada para penyokong skuad penyu yang ternyata tidak berpuas hati dengan prestasi skuad kendalian Irfan Bakti.
Irfan ketika diminta mengulas mengenai perlawanan itu menyifatkan anak buahnya hanya bermain bola sepak pada 10 minit terakhir dan gagal pamer corak permainan sebenar.
Beliau berkata demikian kepada Berita Harian mengakui tidak menduga pasukannya tewas dengan jumlah jaringan berkenaan, apatah lagi sebelum ini skuad kendaliannya mudah meratah lawan sama 4-1 dalam saingan Liga Super.
“Saya jangkakan selepas kita menang 4-1 dengan Selangor, kami mampu melakukan sesuatu yang lebih baik, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.
“Jelas, pemain terkejut apabila Selangor bermain seperti mana kami bermain sebelum ini dan mereka hanya bermain macam biasa dan selesa pada 10 minit terakhir saja,” katanya.
Malah Irfan turut mengakui para pemainnya gagal menggunakan segala kelebihan yang ada dan tidak mengikut taktikal yang telah dirancang olehnya.
“Pemain tidak menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri, sebaliknya mereka dilihat mudah hilang bola, tiada persefahaman, tidak mengawal pemain lawan serta gagal bermain dengan baik, akibatnya kenalah.
“Gol pertama dihasilkan Selangor begitu mudah akibat kesilapan pemain, jaringan kedua sepatutnya kami yang dulu yang hasilkan jaringan tapi gagal, sebaliknya lawan yang mendapat sepakan percuma berjaya meledak jaringan kedua.
“Jaringan ketiga lawan pula terus membunuh semangat kami untuk kembali bangkit selepas ketinggalan,” jelas Irfan.
Terengganu FC mendahului Selangor dengan jaringan Mohd Shahrul Aizad Zulkufli sebelum Selangor bangkit dengan dua gol menerusi Rufino Segovia manakala satu jaringan lagi dihasilkan Evan Dimas sekaligus meranapkan impian skuad TFC untuk menempah tiket ke suku akhir.
Ia merupakan kekalahan kedua berturut-turut TFC selepas tewas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT), 0-1 dalam aksi Liga Super di gelanggang sama minggu lalu.