Quantcast

BERITA

Inter Tewas Kepada Juventus Kerana Rindukan Icardi – Wanda

Wanda Nara mendakwa Inter Milan merindui kelibat suaminya, Mauro Icardi dalam pertembungan Derbi d’Italia baru-baru ini.

Inter tewas 2-1 kepada seteru mereka Juventus dalam perlawanan yang diadakan di San Siro.

Juventus mendahului hasil jaringan Paulo Dybala seawal minit ke-4, sebelum Lautaro Martinez menyamakan kedudukan pada minit ke-18 perlawanan untuk kedudukan babak pertama perlawanan terikat 1-1.

Gol kemenangan Juventus dijaringkan oleh seorang lagi penyerang dari Argentina, Gonzalo Higuain pada minit ke-80 perlawanan, sekaligus memberikan kekalahan pertama kepada skuad kendalian Antonio Conte pada musim ini.

Juventus sebaliknya kekal dengan rekod tanpa kalah dan berada di kedudukan teratas Serie A dengan kelebihan satu mata ke atas Inter selepas tujuh perlawanan.

Icardi mempunyai rekod yang sangat baik apabila beraksi bersama Inter ketika menentang Juventus.

“Beliau menjaringkan lapan dari 11 perlawanan menentang Juventus. Sudah tentu kami menyaksikan perlawanan tersebut bersama-sama,” ujar Wanda kepada Tiki Taka.

Walaupun dengan rekod baik yang dimilikinya, Icardi kekal sebagai watak yang tiada di dalam senarai perancangan Conte pada musim ini.

Sebaliknya, bekas pengurus Chelsea itu memilih untuk mendapatkan khidmat Romelu Lukaku pada musim panas lalu.

Ketibaan bekas penyerang Manchester United itu memaksa Icardi untuk ke Paris Saint-Germain (PSG) secara pinjaman.

“Pada separuh masa pertama, amat jelas Inter perlu beraksi lebih baik,” tambah Wanda dalam rancangan Tiki Taka – sebuah rancangan berbentuk forum yang menampilkan beberapa panelis lain.

Dan secara tiba-tiba Wanda mengalihkan perhatian kepada Fabrizio Biasin, seorang panelis yang merupakan penyokong Inter.

“Icardi tidak akan terlepas perlawanan ini. Anda semua yang merindui beliau.

“Anda [Inter] rindukan kelibat beliau [Icardi] di saingan liga dan juga Liga Juara-Juara Eropah [UCL].”

“Mauro [Icardi] menjaringkan lapan gol dari 11 perlawanan menentang Juventus,” ulang Wanda sekali lagi.

 

Dengan atau tanpa Icardi, Inter bermula dengan amat baik dengan kelompok pemain dan jurulatih serba baharu pada musim ini.

Selain daripada kekalahan kepada Juventus pada hujung minggu lalu, Inter telah merekodkan enam kemenangan pada musim ini untuk berada di tangga kedua Serie A.