Inter Milan dilaporkan bersiap sedia untuk membawa pulang Jose Mourinho kepangkuan mereka jika beliau dilucutkan jawatannya sebagai pengurus di Manchester United.
Menurut sumber dari The Express, kelab Itali itu berbesar hati untuk melantik Mourinho menjadi pengurus bagi menggantikan tempat Luciano Spalletti.
Inter Milan kini sedang bergelut untuk bersaing dalam perebutan gelaran Serie A selepas menduduki tempat ke-3 dengan mengutip 32 mata – 14 mata dibezakan pendahulu liga, Juventus.
Selain itu, Luciano Spalletti juga gagal membawa pasukan untuk mara ke pusingan 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara Eropah, selepas menduduki tempat ke-3 kumpulan B.
Keputusan yang kurang baik itu menyebabkan Inter Milan terpaksa mempertimbangkan sama ada mahu mengekalkan Spalletti atau melucutkan jawatannya.
Kejayaan Mourinho di Inter
Jose Mourinho pernah dua musim membimbing Inter Milan iaitu pada tahun 2008 hingga 2010. Ketika era Mourinho, Nerazzurri telah berjaya meraih prestasi yang cemerlang.
Pada musim 2009/10, Mourinho membawa Inter meraih juara treble. Kelab Itali itu telah memenangi gelaran juara Liga Italia, Coppa Italia, dan trofi Liga Juara-Juara Eropah.
Pada musim sebelumnya, Mourinho juga berjaya membawa Inter untuk menjuarai Serie A dan Supercoppa Italia.
Dengan rekod tersebut, wajar bagi Inter Milan untuk menawarkan jawatan buat pengurus kelahiran Portugal itu untuk kembali bersama mereka.
Semakin tergugat
United sedang bergelut dikedudukan ke-6 liga dengan hanya mengumpul 26 mata selepas 17 perlawanan. Kedudukan Mourinho di Old Trafford semakin dipersoalkan peminat selepas pasukan diaibkan Liverpool 1-3, Isnin lalu.
Keputusan tersebut menyaksikan Mourinho hanya mampu membantu pasukan meraih satu kemenangan dari lima perlawanan dalam saingan liga.
Ketika ini, seperti diketahui, situasi gentir dihadapi Mourinho bersama Manchester United dan berkemungkinan statusnya sebagai pengurus berpotensi untuk dipecat bila-bila masa sahaja.