Dua seteru setempat di bola sepak Itali, AC dan Inter Milan bersetuju untuk bekerjasama membina San Siro baharu menjelang 2023.
Perkara itu yang mula didedahkan oleh La Republica pada 5 Mac lalu berkata pembinaan stadium baharu itu akan melibatkan kerja meruntuhkan struktur stadium lama, sebelum San Siro baharu akan dibina beberapa ratus meter dari tapak sedia ada – melibatkan kos pembinaan mencecah €600 Juta.
Untuk itu, kedua-dua kelab dikatakan telah bersetuju untuk mendapatkan khidmat Goldman Sachs – sebagai pakar kewangan dan penasihat dalam pelaburan terbaru kedua-dua kelab ini.
Pelan untuk pembinaan turut sudah dipersetujui oleh kedua-dua kelab serta mendapat kelulusan daripada majlis perbandaran tempatan.
Kedua-dua kelab akan menyumbang kepada sebahagian besar kos pembinaan, sementara hak penamaan stadium dijangka akan menghasilkan perolehan tidak kurang dari €25 juta setahun.
Stadium San Siro yang baharu akan memiliki kapasiti 60,000 tempat duduk – termasuk 5,000 tempat duduk yang direka khas untuk konsert dan acara lain.
Pusat membeli belah turut akan dibina sekali dengan projek tersebut – sekaligus merancakkan lagi nilai hartanah setempat di sekeliling stadium baharu berkenaan.
Stadium baharu itu akan dibina berdasarkan rekaan Stadium Met-Life di New York City yang menjadi gelanggang tuan rumah pasukan NFL, Giants dan Jets yang berkapasiti 82,000.
Walaupun bakal menerima stadium dengan kapasiti yang lebih kecil berbanding San Siro sedia ada, ia adalah stadium moden yang mampu memberi pengalaman unik kepada penyokong yang hadir. Jumlah 60,000 tempat duduk itu turut diambil berdasarkan purata kehadiran penyokong kedua-dua kelab sebelum ini.
AC Milan telah beraksi di Stadium Giuseppe Meazza – lebih dikenali sebagai San Siro – sejak 1926. Inter mulai menggunakan stadium yang sama mulai 1947.