Quantcast

KAJIAN & FAKTA

Analisis: Pemain Pertahanan Berusia 21 Tahun Bernilai €50 Juta, Adakah Pembelian Militao Berbaloi?

Lebih kurang 24 jam selepas kembali dilantik selaku pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane tidak membuang banyak masa untuk menjalankan tugas yang beliau tinggalkan 10 bulan yang lalu. Misi sempena kepulangan kedua selaku pengendali Los Blancos kali ini jelas sekali. Iaitu untuk memulakan projek baharu yang mampu membawa gemilang kepada skuad Los Blancos seperti mana pernah gergasi Madrid itu nikmati ketika era Galaticos.

Skuad Real Madrid pada hari ini mempunyai purata umur sekitar 26.1. Hanya empat daripada mereka berusia 30 tahun ke atas. Dari segi purata umur, Zidane memiliki skuad muda untuk menakluk Sepanyol dan Eropah untuk tahun-tahun berikutnya. Namun ia mungkin tidak cukup remaja untuk bergelar penakluk selama sedekad atau lebih. Pasukan ini juga memerlukan karakter segar di dalam pasukan.

Nama pertama yang bakal tiba di Santiago Bernabeu pada musim panas akan datang – diumumkan oleh Real Madrid selepas kepulangan Zidane ialah Eder Militao dari Porto.

Eder Gabriel Militao

Eder Gabriel Militao adalah nama penuh kepada anak muda kelahiran Sertãozinho, Brazil ini. Dilahirkan pada 18 Januari 1998, Militao adalah seorang bek sayap. Uniknya, pemain ini tampil sebanyak 20 kali sebagai pemain pertahanan tengah ketika beraksi bersama Porto sepanjang musim ini.

Mampu beraksi lebih dari satu posisi, memberikan kelebihan kepada Militao yang pantas menarik perhatian Zidane dan Real Madrid – setelah pemain ini berhijrah dari Sao Paulo, Brazil pada musim panas lalu.

PORTO, PORTUGAL – NOVEMBER 28: Eder Militao of Porto looks on during the Group D match of the UEFA Champions League between FC Porto and FC Schalke 04 at Estadio do Dragao on November 28, 2018 in Porto, Portugal. (Photo by Quality Sport Images/Getty Images)

Karier awal

Karier bola sepak Militao bermula seawal usia 13 tahun. Anak kepada bekas pemain, Valdo – juga seorang bek kanan – ayahnya itu bermain secara profesional bersama Comercial-SP dan juga Corinthians. Ketika beraksi bersama Corinthians, Valdo memenangi kejuaraan Paulis Championship dan Piala Brazil pada 1995.

Karier Valdo di dalam bola sepak di Brazil bermakna Eder Militao dibesarkan di dalam persekitaran yang gilakan sukan ini.

Brazilian Football League Serie A / “n( Sao Paulo Football Clube ) – “nEder Gabriel Militao ” Eder Militao “

“Selepas tidak lagi beraksi, ayah bekerja di sebuah sekolah bola sepak di bandar kelahiran, Sertaozinho. Abang saya juga adalah seorang pemain bola sepak. Beliau beraksi di bek kiri bersama Marilia. Maka segala-galanya adalah mengenai bola sepak dalam kehidupan saya,” ujar Militao yang menyertai akademi bola sepak Sao Paulo pada usia 13 tahun.

Merupakan pemain yang versatil di bahagian pertahanan, Malitao adalah pemain paling menyerlah di Pusat Latihan Nudo Laudo. Kerap kali beliau beraksi sebagai pemain pertahanan tengah atau bek kanan, atau pun sebagai seorang libero.

LANDOVER, MD – SEPTEMBER 11: Brazil defender Elder Militao (22) executes a header over El Salvador defender Dustin Clifman Corea (11) during a match between Brazil and El Salvador on September 11, 2018, at FedExField in Landover, MD. (Photo by Daniel Kucin Jr./Icon Sportswire via Getty Images)

Mengenai pengalaman ketika latihan usia remajanya itu, Militao berkata: “Saya berpendapat ianya penting untuk mahir dengan variasi sebegini. Berada di bahagian belakang, atau di bahagian tengah permainan. Saya gemarkan kedua-dua posisi dan peranan. Saya banyak belajar dari pengalaman ini,” ujar beliau lagi.

Analisis taktikal

Berdasarkan penampilan Militao bersama Porto dan bagaimana beliau dibangunkan, kami percaya pemain ini merupakan seorang bek tengah. Bagaimanapun Militao juga boleh beraksi di beberapa posisi lain seperti di bek sayap.

20 penampilan di posisi bek tengah. Sumber: WhoScored.

Di dalam skuad Real Madrid pada hari ini, Militao akan bersaing dengan pemain seperti Sergio Ramos di bahagian pertahanan tengah atau pun Daniel Carvajal dan Alvaro Odriozola di bek kanan. Tatkala Odrizola dilihat sebagai pengganti Carvajal pada masa hadapan, kita boleh simpulkan Militao dibawa masuk untuk bersaing dengan Ramos yang kini sudah mencecah usia 32 tahun.

Real Madrid

Dan sekiranya Zidane memilih untuk beraksi menggunakan sistem tiga pertahanan, kebolehan Militao juga boleh digunakan sebagai bek separa dengan taktikal La Salida Lavolpiana.

La Salida Lavolpiana adalah satu terma yang merujuk kepada perubahan struktur bek berempat menjadi bek bertiga ketika dalam fasa membina serangan pasukan.

Rumusan

Eder Militao adalah pemain istimewa. Namun walaupun dibawa masuk ke Santiago Bernabeu dengan tanda harga mencecah €50 juta, beliau harus sedar tempat beliau di dalam kesebelasan utama bukan satu jaminan. Apatah lagi apabila harus bersaing tempat dengan pemain seperti Sergio Ramos – yang dilabel sebagai Madrista sejati.

Adakah ia pembelian berbaloi dari Real Madrid, atau pun Zidane terlalu gopoh? Dengan corak pasaran pemain pada hari ini, nilai Militao masih boleh melonjak lebih mahal – terutama sekiranya Porto pergi lebih jauh di pertandingan UEFA Champions League musim ini.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!