Hukuman gantung dan denda kini sedang menanti pemain-pemain dan pasukan yang terlibat di dalam insiden panas di kejohanan pra musim empat penjuru YAB Menteri Besar Terengganu pad Rabu lalu.
Perlawanan membabitkan Penang FC dan pasukan tuan rumah, Terengganu FC II yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin, Kuala Terengganu itu menyaksikan insiden panas tercetus pada babak akhir separuh masa pertama.
Aksi Pra Musim Pasukan Liga Malaysia Bertukar Jadi Gelanggang ‘Muay Thai’https://t.co/1i0xJk6xJ0
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) February 9, 2022
Pasukan pelawat, Penang FC pada ketika itu diberikan sepakan penalti oleh pengadil perlawanan. Sepakan oleh pemain Penang FC berjaya ditampan penjaga gol Terengganu FC II sebelum suasana kelam kabut merebut bola muntah berlaku.
Situasi tersebut kemudiannya menimbulkan suasana tegang di kalangan pemain kedua-dua pasukan dengan insiden tolak menolak sebelum tumbuk terajang, dan kejar mengejar di kalangan pemain berlaku.
Disebabkan kejadian tersebut, seorang pemain Penang FC, Adib Raop dilaporkan mengalami kecederaan yang agak serius di bahagian muka.
Insiden disiasat FAM
Walaupun kejohanan tersebut dianjurkan oleh pihak Terengganu, insiden tersebut kini dilaporkan telah mendapat perhatian Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Menurut laporan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Adam, hukuman gantung dan denda bakal menanti pemain dan pasukan yang terlibat didapati berkelakuan ganas menumbuk dan menendang pemain.
Susulan insiden pergaduhan Penang FC dan TFC II, pemain yang didapati berkelakuan ganas menumbuk dan menendang pemain difahamkan akan digantung dan pasukan pula akan didenda. Hukuman akan dijatuhkan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM kerana pertandingan diluluskan badan induk itu.
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) February 11, 2022
Tindakan tersebut boleh diambil oleh Jawatankuasa Teknikal FAM memandangkan kejohanan tersebut dianjurkan di bawah kelulusan badan induk bola sepak negara itu.
Semalam, kedua-dua pasukan terlibat telah mengeluarkan kenyataan masing-masing menjelaskan situasi yang berlaku mengikut versi masing-masing.
Tatkala Penang FC mendakwa tindakan Adib disangka pemain lawan ingin membuat provokasi sedangkan pemain berkenaan cuba meleraikan pergaduhan yang berlaku, Terengganu FC pula mendakwa pemain No.14 menjadi pencetus kepada insiden pergaduhan itu.
Berdasarkan insiden lalu, pemain-pemain terlibat boleh dikenakan tindakan di bawah Artikel 59 Kod Tatatertib FAM kerana berkelakuan ganas.