Saingan Bundesliga telah kembali dan ianya jelas memberikan keseronokkan buat peminat bola sepak selepas sudah lama tiada aksi disajikan.
Kesemua perlawanan dilangsungkan secara tertutup dengan perlawanan diadakan tanpa kehadiran penonton.
Hasilnya, kesemua aksi Bundesliga disiarkan secara langsung pada pada hari Sabtu, Ahad dan juga Isnin.
Tetapi tahukah anda? Disaat semua kru penyiaran berada di stadium, terdapat orang penting di stadium yang tidak berada di sana iaitu pengulas?
Ya benar, pengulas Bundesliga bagi siaran bahasa Inggeris melakukan tugasan mereka dari rumah sahaja kerana masing-masing berada di rumah mereka di United Kingdom dan bukannya Jerman.
Perkongsian itu dilakukan oleh pengulas BT Sport iaitu Ian Darke menerusi laman Twitternya tempoh hari.
Dalam cicipan beliau, Darke memuatnaik video beliau sedang mengulas dari rumahnya ketika perlawanan melibatkan Hoffenheim dan juga Hertha Berlin.
“Mengulas dari rumah untuk perlawanan Bundesliga, hari yang pelik semestinya.”
Dari rakaman tersebut menyaksikan Darke mengulas dihadapan skrin dengan rakaman video secara langsung dipancarkan kepada beliau untuk mengulas perlawanan tersebut.
Seperti ramai diantara kita yang sering mengalami kesukaran ketika bekerja dari rumah, Darke juga mengakui rakan setugasnya iaitu Paul Dempsey turut mengalami masalah yang sama.
Dempsey yang mengulas perlawanan Borussia Dortmund-Schalke 04 mengalami gangguan apabila pihak Tesco sering mengetuk pintu rumahnya untuk menghantar barangan yang dipesannya ketika sedang bertugas!
Sesungguhnya, wabak Covid-19 memaksa kita untuk mengubah corak kehidupan serta cara bekerja. Walaupun kelihatan sangat kekok, harapnya situasi sukar ini akan berakhir seawal boleh walaupun pakar kesihatan memberi gambaran agak lama untuk ianya dapat dikawal.
Duduk rumah jika tiada urusan di luar, dan jaga kesihatan ya semua!