Tiada angin, mahupun ribut, secara tiba-tiba kita dikhabarkan tentang kepulangan Safawi Rasid yang beraksi di Thai League 1 ke Liga Malaysia.
Pemain sayap menyerang itu saat ini sedang beraksi secara pinjaman bersama Ratchaburi dari Johor Darul Ta’zim (JDT) sejak Januari lalu.
Malah, sejak kisah itu tersebar, Terengganu menerusi pengendalinya, Tomislav Steinbruckner antara yang terawal menyatakan minatnya.
Terengganu paling awal berminat?
“Sudah tentu saya berminat terhadap beberapa pemain seperti yang sudah kita bincangkan dan pemain yang ada kualiti seperti Safawi. Dia pernah bersama dalam pasukan saya pada 2015 dan saya sangat mengenalinya selain dia adalah pemain yang berpengalaman,” ungkap Steinbruckner di sidang media pasca aksi menentang Selangor kira-kira dua minggu lalu.
Adakah Terengganu terlalu terdesak untuk membawa masuk Safawi?
Kenapa belum ada pasukan lain yang bersuara mahukan khidmatnya?
Liga Super: Steinbruckner berhasrat bawa pulang Safawi ke Terengganu https://t.co/U74b5DIKs9
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) April 19, 2023
Malah, Ketua Pegawai Eksekutif, Ab Rasid Jusoh mengesahkan pihaknya sedang berusaha untuk membawa Safawi masuk ke bumi Darul Iman.
“Sejujurnya kita begitu berminat untuk menggunakan khidmat pemain itu bagi memperkuatkan lagi jentera sayap dan serangan pasukan lebih-lebih lagi kami bakal beraksi dalam saingan Piala AFC selain Liga Malaysia,” jelasnya.
Kenyataan Steinbruckner ini telah dikeluarkan pada 18 April 2023.
Safawi tidak selesa di Ratchaburi?
Berdasarkan kenyataan oleh pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Safawi tidak begitu gembira di sana.
Ia adalah hasil temu bual bersama Utusan Malaysia yang diterbitkan pada 16 April 2023. “Safawi ada berhubung dengan saya. Saya rasa dia tak begitu selesa di sana,” kata TMJ sambil berkata Safawi yang mahu ke sana.
“Kami hanya memberi kerjasama kepada beliau dimana dia nak dapat lebih banyak permainan dan kami beri itu semua. Buat masa ini masih belum ada kata putus sama ada dia nak balik ataupun tidak,” jelasnya lanjut.
“Saya tahu dia kurang selesa di sana. Ada ura-ura yang mengatakan Safawi Rasid nak balik sini [JDT]. Tetapi tengok dulu. Saya pun belum membuat keputusan,” tambah TMJ tentang perkhabaran tentang Safawi.
Benarkah Safawi tidak selesa bermain di Thai League ketika ini? Adakah beliau kurang mendapat minit permainan sehingga mahu pulang?
Kim Pan-gon pernah kata Safawi gembira
Sekitar 21 Februari lalu, pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon melawat Safawi di Ratchaburi menerusi laporan New Straits Times.
“Saya gembira melihat Safawi kerana saya sudah lama tidak melihat beliau beraksi selama 90 minit. Beliau berdepan permulaan yang sukar di sana. Namun, kini semua berada dalam keadaan yang baik,” jelas Kim.
“Saya teruja kerana beliau sudah menurunkan berat badan, yang mana satu petanda positif. Saya boleh nampak Safawi Rasid gembira. Jadi. saya harap beliau mengekalkan prestasi,” ungkap pengendali itu lagi mengenainya.
Safawi telah beraksi dalam 12 perlawanan bersama Ratchaburi dengan lapan kali sebagai pemain kesebelasan utama di Thai League 1.
Dalam tempoh itu, beliau telah melakar satu gol dan dua bantuan gol.
Safawi menjaringkan gol pertama dalam saingan Thai League 1 bersama Ratchaburi.
Ayuh Safawi!#VocketFC pic.twitter.com/e9S8zAMSIK
— VOCKET FC (@vocketfc) March 19, 2023
Adakah Safawi tidak selesa atau tidak gembira di sana? Penampilan dan prestasinya menggambarkan sebaliknya. Malah, Kim sendiri berkata yang Safawi nampak cergas dan gembira dapat bermain kembali seperti biasa.
Jadi, bagaimana dengan kisah Safawi mahu pulang? Adakah ia sebuah kisah dongeng. Kerana Ratchaburi sudah pun mengeluarkan kenyataan menafikan yang pemain berusia 26 tahun itu mahu kembali ke Malaysia.
Berdasarkan sinopsis kisah Safawi ini, adakah pembaca merasakan yang Safawi bakal kembali ke Liga Malaysia atau kekal di Thai League?