Ini Sebab Terengganu ‘Kempunan’ Untuk Dapatkan Khidmat Paulo Josue

Terengganu menjadi antara pasukan yang sebenarnya memiliki hasrat untuk cuba menandatangani khidmat pemain tengah naturalisasi Harimau Malaya iaitu Paulo Josue bagi saingan musim 2024/2025.

Paulo Josue menjadi antara pemain paling menyerlah pada musim lalu bersama Kuala Lumpur City (KL City) serta pasukan kebangsaan menerusi penampilannya sangat konsisten membantu serangan.

Malah, Josue juga memainkan peranan cukup penting buat Harimau Malaya untuk menghadapi tiga perlawanan di pentas Piala Asia 2023, Qatar.

Terkenal dengan kualiti penyudah beliau menerusi sepakan percuma serta kreativiti mencipta peluang gol, pastinya kelibat pemain naturalisasi ini sentiasa menarik minat mana-mana kelab untuk mendapatkannya termasuk Terengganu.

Walaupun begitu, Sang Penyu terpaksa melupakan hasrat mereka untuk cuba mendapatkan khidmat Josue pada musim akan datang atas faktor kewangan mereka sendiri tidak mampu membayar tahap gaji pemain berkenaan.

Ianya diakui sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu iaitu Mohd Sabri Abas selepas pengurusan kelab terpaksa melupakan hasrat untuk cuba mendapatkan khidmat Josue.

“Kita tidak nafikan memang berminat untuk mendapatkan khidmat pemain tinggi lampai kelahiran Brazil itu bagi memantapkan lagi jentera serangan pasukan dalam kancah Liga M pada musim ini.

“Lagipun dia kini berstatus pemain naturalisasi berbanding bertaraf import sebelum ini, bagaimanapun faktor gaji pemain itu yang di luar kemampuan pasukan menyebabkan kami terpaksa melupakan hasrat untuk mengikat pemain Harimau Malaya itu.

“Hal ini kerana pada saingan kali ini, pihak pengurusan tiada pilihan melainkan perlu melakukan langkah penjimatan dalam perbelanjaan disebabkan kekurangan peruntukan,” katanya menerusi laporan Berita Harian.

Nama Josue sebelum itu timbul dalam kalangan segelintir penyokong Sang Penyu yang berharap supaya pengurusan Terengganu dapat membawa pemain tersebut menyertai mereka musim hadapan.

Musim lalu sahaja menyaksikan Josue telah pun meledak 11 gol serta 10 bantuan jaringan daripada 30 penampilan bersama KL City untuk membuktikan betapa beliau seseorang begitu berpengaruh di posisi serangan kelab tersebut.

Untuk pasukan kebangsaan pula, Josue tidak mengambil masa yang lama untuk membuktikan status naturalisasi beliau sangat berbaloi buat para penyokong setia Harimau Malaya.

Pemain dari Brazil itu ketika ini sudah pun menjaringkan empat gol serta satu bantuan jaringan daripada 11 penampilan bersama skuad kebangsaan termasuk dalam saingan Piala Asia 2023.

Sumber:
Berita Harian

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN