Peter Cklamovski dan Nafuzi Zain secara rasminya kini diumumkan selaku jurulatih baharu Harimau Malaya selepas revolusi baharu dilakukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk memantapkan lagi skuad kebangsaan pada masa hadapan.
Untuk Cklamovski, beliau bersama staf kejurulatihannya akan mengendalikan skuad senior Harimau Malaya yang akan berjuang pada aksi Kelayakan Piala Asia 2027 akan datang.
Sementara Nafuzi pula bakal menguruskan skuad bawah 23 (B-23) kebangsaan untuk persediaan kempen Kejuaraan B-23 ASEAN 2025, Kelayakan Piala Asia B-23 2026 dan Sukan SEA 2025 di Thailand.
“Fasiliti pengurusan dan pasukan perubatan akan ditambah baik dan bakal menerima nafas yang baharu di bawah penstrukturan semula FAM.
“Ini adalah sebahagian insiatif-inisiatif serta perubahan bagi melaksanakan struktur organisasi baharu untuk Harimau Malaya.
“Justeru, FAM pada hari ini mengumumkan secara rasmi nama dua individu penting yang akan menerajui struktur organisasi baharu skuad Harimau Malaya sebagai permulaan kepada revolusi untuk memperkasakan skuad bola sepak kebangsaan.
“Mereka terdiri daripada Peter Cklamovski sebagai ketua jurulatih kebangsaan dan Nafuzi Zain sebagai ketua jurulatih B-23 kebangsaan,” jelas kenyataan tadi.
Mengenai Cklamovski, nama tersebut sebelum ini sudah pun disebut-sebut dalam kalangan peminat Malaysia di media sosial selain laporan akhbar tempatan, Harian Metro turut menyatakan beliau selaku salah seorang calon pengendali baharu skuad kebangsaan.
Tampil berpengalaman di Jepun bersama FC Tokyo sebelum ini, beliau dilaporkan bakal membawa staf kejurulatihan tersendiri untuk memperkukuhkan pasukan Harimau Malaya.
“Beliau hadir ke Malaysia untuk menyediakan satu set staf kejurulatihan yang mantap demi memastikan para pemain yang dipanggil ke kem latihan skuad Harimau Malaya diberi tunjuk ajar yang sebaiknya, sekali gus dapat meningkatkan kemampuan dan kemahiran mereka untuk beraksi di perlawanan peringkat antarabangsa.
“Sebagai permulaan, misi utama Cklamovski adalah untuk memastikan skuad Harimau Malaya berjaya mengungguli saingan kelayakan Kumpulan H bagi mencapai sasaran layak ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi, selain memperbaiki ranking FIFA untuk menuju ke kedudukan 100 terbaik dunia,” ujar laman tersebut.
Mengenai Nafuzi pula, pengalaman luas beliau terdahulu dalam pembangunan pemain-pemain muda menjadi asbab mengapa dirinya terpilih untuk mengharungi cabaran baharu bersama skuad B-23 Malaysia.
“Rekod dan pengalaman Nafuzi dalam mengendalikan pasukan bawah umur tidak boleh dinafikan apabila beliau berjaya membawa Kelantan menjuarai Piala Presiden sebanyak tiga kali iaitu sebagai penolong ketua jurulatih pada 2011 dan 2013 serta sebagai ketua jurulatih pada 2015.
“Beliau kemudian menjadi ketua jurulatih skuad Piala Presiden T-Team FC serta muncul naib juara pada 2016 dan kemudian telah dilantik sebagai penolong ketua jurulatih Terengganu FC pada 2017 hingga 2019.
“Nafuzi kemudian mengembangkan kariernya apabila dilantik sebagai ketua jurulatih Terengganu FC pada 2020 hingga 2022 dengan kejayaan meraih tempat ketiga Liga Super 2020 serta naib juara Liga Super 2022 dan Piala FA 2022, selain layak ke Piala AFC.
“Selepas bergelar Jurulatih Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2022, Nafuzi berhijrah untuk menjadi ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC pada 2023 dan 2024,” ulas laman itu akhir sekali.